Tun Mahathir Adalah Pakar Permainan Persepsi, Boleh Cipta Apa Sahaja Persepsi Terhadap Musuh Dan Orang Ramai Akan Mempercayainya

Panggil apa sahaja yang anda mahu, politik secara asasnya adalah satu peperangan persepsi. Jika anda tidak memahami perkara ini, anda tidak layak terlibat di dalam politik. Dan ahli politik yang terbaik adalah mereka yang mengikut fahaman Machiavelli. Peperangan antara Barisan Nasional-Pakatan Rakyat adalah peperangan persepsi, begitu juga dengan peperangan Mahathir-Najib.

Inilah sebabnya mengapa BN dan PR perlu menghebohkan jumlah penyokong yang hadir ke acara mereka. Jika jumlahnya 50,000, mereka akan sebut 500,000 dan pihak satu lagi hanya akan berkata jumlahnya adalah 30,000. Kehadiran dianggap sebagai bukti sokongan jadi jika anda perlu meyakinkan orang ramai, anda hanya perlu jumlah yang besar yang tidak masuk akal.

Jadi jangan pandang rendah kuasa persepsi. Dan Tun Dr Mahathir Mohamed, orang lama di dalam politik Malaysia, semenjak Datuk Seri Najib di bangku persekolahan lagi, adalah pakar dalam permainan ini. Beliau boleh mencipta apa sahaja persepsi terhadap musuh beliau dan orang akan mempercayainya.

Pada tahun 60an, beliau telah mencipta persepsi yang orang Melayu akan jatuh ke tangan orang Cina. Beliau turut menulis buku mengenainya, The Malay Dilemma. Antara persepsi yang terdapat di dalam buku beliau adalah sebab mengapa orang Melayu jatuh ke tangan orang Cina adalah kerana Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman seorang yang sukakan Cina dan telah menjual orang Melayu.

Kemudian kita ada rusuhan kaum pada Mei 1969 dan Dr Mahathir, sekali lagi, telah membuat persepsi yang sebab utama rusuhan ini adalah Tunku telah menjual orang Melayu. Fakta bahawa rusuhan kaum ini dicipta untuk menurunkan Perdana Menteri tidak diketahui untuk beberapa ketika sehinggalah Tunku Abdul Rahman menjelaskan apa yang terjadi di belakang koridor kekuasaan.

Apabila Dr Mahathir menghadapi cabaran dari Tengku Razaleigh Hamzah, budak-budak suruhannya, sekali lagi, telah mencipta persepsi. Persepsinya adalah Tengku Razaleigh adalah kroni Cina yang telah banyak membantu jutawan Cina menjadi kaya raya dan jika beliau menjadi Perdana Menteri, negara ini akan diserahkan kepada orang Cina.

Seperti dijangka, Tengku Razaleigh kalah. Beliau mempertikaikan keputusan dan menuduh berlaku penipuan lalu membawa kes tersebut ke mahkamah. Akibatnya, UMNO diisytiharkan haram. Dr Mahathir berkata, “Membawa hal parti kepada mahkamah, pada pandangan saya, adalah tidak patut kerana kesemua perkara mesti diselesaikan di dalam parti. Tindakan Tengku Razaleigh yang membawa perkara ini di luar parti telah menyebabkan saya hilang hormat kepada beliau. Akibat dari ini, satu peraturan baru parti diperkenalkan iaitu kepada sesiapa yang membawa hal dalaman UMNO ke mahkamah, beliau akan hilang keahlian parti.”

Persepsinya disini adalah Tengku Razaleigh adalah pengkhianat dan tidak setia kepada UMNO dan disebabkan beliau UMNO diharamkan – sedangkan Dr Mahathir yang mahu ianya diharamkan supaya beliau boleh menendang kesemua musuhnya keluar dari parti dan membentuk parti baru.

Jika anda ikuti karier politik Dr Mahathir selama 60 tahun atau semenjak tahun 1960an, anda akan tahu betapa mahirnya beliau di dalam permainan persepsi. Beliau malah berjaya meyakinkan negara yang Anwar bersalah meliwat apabila Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan yang pihak pendakwaan telah gagal membuktikan Anwar bersalah.

Mahkamah Malaysia adalah bebas. Mahkamah Malaysia tidak akan memenjarakan sesiapa melainkan terbukti bersalah. Dakwaan pembangkang yang Mahkamah Malaysia boleh dimanipulasi dan menerima arahan dari Perdana Menteri adalah bohong, menurut Dr Mahathir. Dan dalam masa yang sama itu, beliau boleh berkata Anwar bersalah walaupun mahkamah berkata yang sebaliknya.

Secara ringkas, Anwar bersalah sebab persepsinya, beliau bersalah. Ianya tidak dibuat berdasarkan hujah undang-undang yang berkata kesalahan Anwar tidak pernah dibuktikan.

Hanya Dr Mahathir yang boleh terlepas dari perkara sebegini. Dan mungkin ini yang menjadikan beliau seorang ahli politik yang unik.

Apabila Dr Mahathir memutuskan untuk menjatuhkan Najib, beliau menggunakan jambatan bengkok dan cuba menghasut orang Cina dengan sebab-sebab mengapa Perdana Menteri perlu dijatuhkan. Tetapi kemudian beliau menyedari alasan tersebut tidak cukup kuat. Beliau perlu menggunakan alasan lain, jadi beliau memainkan isu 1MDB dan membuat persepsi RM42 bilion lesap begitu sahaja.

Pada mulanya ianya mendapat sambutan tetapi apabila 1MDB berjaya menyangkal dakwaan tersebut dan mengeluarkan data yang membuktikan ianya tidak benar, Dr Mahathir telah mengubahsuai tuduhannya dan memasukkan RM2.6 bilion sebagai isu lain.

Tetapi Dr Mahathir perlu membuat persepsi yang tuduhan itu adalah benar dan cara yang paling berkesan adalah menarik negara-negara yang berkaitan untuk sama terlibat. Tetapi beliau tidak boleh pergi ke semua negara tersebut untuk membuat aduan kerana beliau sendiri ada isu dengan negara barat.

Malah, negara barat turut mempunyai dakwaan terhadap beliau seperti dakwaan beliau terhadap Najib. Maka, orang upahan beliau yang melakukan kerja kotor beliau untuk mengelakkan tindakan beliau dipertikaikan.

Apapun, saya telah menulis mengenai perkara ini untuk beberapa bulan kebelakangan ini jadi saya tak perlu mengulanginya. Cukup untuk saya katakan Dr Mahathir berjaya menjumpai orang yang sanggup untuk melakukan semua ini iaitu Khairuddin Abu Hassan yang perlukan wang kerana beliau baru sahaja mendapat isteri kedua dan akan bangkrap. Jika beliau gagal menyelesaikan masalah kewangan beliau, beliau akan hilang isteri dan isteri beliau akan kehilangan rumah.

Satu perkara yang Dr Mahathir tidak sangka adalah Najib akan melawan dan melawan dengan begitu tegas. Dan apabila Najib bertindak menghilangkan kesemua platform yang digerakkan oleh Tun Mahathir yang dijangka akan menyerang pada penghujung Julai, itulah kali pertama orang lama politik Malaysia ini tewas.

Apa yang sepatutnya berlaku pada Jun, kemudiannya Julai, kini ditunda ke Oktober. Itulah tarikh terakhir untuk menumbangkan Najib. Dan untuk memastikan beliau mendapat 120 Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak untuk menumbangkan Najib, Dr Mahathir perlu memastikan persepsi yang Najib bersalah adalah cukup kukuh.

Dan sebab itulah mereka bergerak ke serata dunia membuat laporan dan aduan. Mereka memerlukan negara-negara ini melaporkan yang mereka sedang menyiasat Najib untuk kes rasuah melibatkan 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Tak kisah jika ianya hanyalah siasatan dan tiada bukti bersalah. Fakta yang negara tersebut menyiasat sudah cukup baik. Persepsinya adalah jika ada negara telah memulakan siasatan, maka sudah tentu ada yang tidak kena. Lagipun, sudah tentulah tiada asap tanpa api.

Benar, seperti yang dikatakan, Dr Mahathir ini anjing tua. Adakah gigitannya masih berbisa atau hanya salakan yang kedengaran? Beliau ada sebulan lagi. Dan dalam sebulan ini beliau perlu memastikan beliau menang peperangan persepsi. Seperti yang dikatakan British, ini adalah peperangan untuk memenangi hati dan minda rakyat. Jika beliau gagal, maka undi tidak percaya bulan depan akan gagal. Dan ini bermakna Najib kekal sebagai Perdana Menteri sehinggalah ke PRU akan datang.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/the-mahathir-najib-battle-of-perception/