YB Tony Pua, Jangan Jadi Hipokrit.Di Sebalik Menjadi Seorang Anggota PAC, Beliau Hanya Membisu Dalam Hal Kebocoran Maklumat

1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menempelak Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang masih membisu berhubung isu kebocoran maklumat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai siasatan 1MDB serta pelanggaran prosedur Parlimen yang berlaku.

Menurut 1MDB dalam satu ke­nyataan hari ini, dakwaan Wall Street Journal (WSJ) kononnya telah mengkaji dokumen yang merupakan sebahagian daripada siasatan 1MDB oleh PAC adalah satu isu yang serius berikutan Tony merupakan sebahagian daripada anggota PAC.

“Tony mendakwa tanggungjawabnya adalah menegakkan akauntabiliti dan ketelusan, namun di sebalik menjadi seorang anggota PAC, beliau hanya membisu dalam hal (kebocoran maklumat) ini.

“Untuk mengelak daripada menjadi hipokrit sepenuhnya, Tony sepatutnya menuntut satu siasatan menyeluruh terhadap kebocoran tersebut serta prosedur Parlimen yang sepatutnya diambil,” kata kenyataan berkenaan.

Jelas kenyataan itu, 1MDB sentiasa berpegang kepada hujah-hujah yang kukuh namun Tony sebagaimana dalam satu kenya­taan hari ini tetap mengitar se­mula serangan WSJ yang tidak bersandarkan kepada bukti kukuh.

“Tony sekali lagi menggunakan modus operandi sama dalam perkara berkaitan dengan 1MDB. Langkah pertama: Menunggu dakwaan sensasi yang tidak berasas dibuat, sebaik-baiknya oleh akhbar asing.

“Kemudian, tanpa malu menumpang sama spekulasi itu de­ngan bertanya soalan-soalan yang sama. Secara jelas, apabila fakta dan jawapan diberikan, Tony terbukti salah, namun dia tidak menghirau fakta, me­ngubah topik, membuat kenya­taan beremosi dan kemudiannya menunggu dengan senyap untuk satu lagi dakwaan sensasi yang tidak berasas,” kata kenyataan itu.

http://www.1mdb.com.my/press-release/yb-tony-pua-don’t-be-a-hypocrite