1MDB : Kenapa Tiada Langsung Unsur Jenayah Ditemui Setelah Selesai Siasatan

1. 1MDB telah dituduh kononnya terlibat dengan penggubahan wang haram (money laundering), penggelapan wang, pemindahan wang dari sumber keganasan, penyelewengan dana awam dan pelbagai dakwaan yang besar.

2. Peliknya, Bank Negara Malaysia (BNM) hanya berupaya membuat siasatan berkaitan kesalahan di bawah perenggan (4) (b) Bahagian 1 Jadual Lima kepada Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 iaitu membuat kenyataan yang palsu secara sengaja dan tanpa bukti kukuh. Kesalahan ini sudah tentu secara bandingan, amat kecil berbanding tuduhan asal. Itupun, berdasarkan kenyataan Jabatan Peguam Negara, difahami bahawa BNM gagal membuktikan 1MDB melakukan kesalahan tersebut.

3. Ibarat apabila pihak polis diminta menyiasat seseorang atas kes pembunuhan, tetapi akhirnya kerana tiada bukti, dakwaan cuba dibuat atas kesalahan meletak kenderaan. Itupun apabila gagal dibuktikan kesalahan tersebut, sekarang satu demi satu kesalahan sedang dicari termasuk semua perkara yang kecil-kecil semata-mata untuk memastikan kehidupan seseorang itu tidak senang.

4. Berdasarkan pengamatan, 1MDB telah memberikan kerjasama penuh dengan setiap pihak berkuasa yang menyiasat mereka, termasuk BNM. Sehinggakan dokumen asal 1MDB juga telah diambil oleh pihak polis dan ini mengakibatkan laporan kewangan diaudit dan laporan tahunan 1MDB masih belum dapat dimuktamadkan.

5. Dengan semua maklumat dan dokumen yang ada, sudah pasti BNM mempunyai cukup bahan untuk membuat siasatan yang menyeluruh. Dakwaan mengenai salah laku berkaitan kelulusan yang diberi berlaku sepanjang tahun 2009 – 2011. Manakala butiran mengenai pelaburan AS$1.83 bilion dilaporkan setiap tahun di dalam penyata kewangan diaudit 1MDB. Apakah yang dilakukan oleh BNM sepanjang tahun 2012-2015?

6. Tiada siasatan berkaitan penggubahan wang haram. Tiada juga yang berkaitan penggelapan atau penyelewengan wang seperti yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir, Tony Pua dan pihak yang anti-1MDB. Bermaksud, tiada bukti yang ditemui oleh BNM berkaitan jenayah ini, cuma tuduhan-tuduhan kosong. Siasatan BNM akhirnya cuma berkisar di atas dakwaan ‘perisytiharan palsu’.

7. 1MDB telah menjelaskan berkali-kali kepada BNM, penyiasat yang lain dan pelbagai pihak secara TERBUKA bahawa dana 1MDB telah digunakan secara sah mengikut undang-undang untuk penggantian hutang IPIC dengan aset. Tentunya pengurangan hutang 1MDB ini akan membantu memperbaiki sentimen dan keyakinan pelabur terhadap 1MDB dan ekonomi negara.

8. Agak tidak masuk akal dan nampak seolah-olah BNM berniat jahat apabila mahu wang yang telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB dikembalikan semula. Adakah BNM sedang cuba menyalah guna kuasa dan membuli 1MDB hanya kerana mereka gagal mensabitkan 1MDB dengan sebarang jenayah?

9. Anehnya, kenapakah BNM seolah-olah sengaja membuat kenyataan-kenyataan negatif setiap kali terdapat perkembangan yang baik berkaitan 1MDB?

10. Misalnya dalam bulan Jun, selepas Jemaah Menteri telah meluluskan pelan rasionalisasi 1MDB dan 1MDB telah melangsaikan hutang sebanyak AS$975 juta Deustche Bank, kenapakah BNM pula mengumumkan siasatan terhadap 1MDB tidak lama selepas itu.

11. Sekarang, sekali lagi dalam bulan Oktober, pada saat satu demi satu perkembangan positif pelan rasionalisasi 1MDB diumumkan, termasuk terbaru, mengenai rundingan dengan IPIC yang bakal mengurangkan hutang 1MDB sehingga RM16 bilion, kenapa BNM seolah-olah sengaja hendak merosakkan berita dan perkembangan yang baik ini dengan pengumuman penarikan kebenaran pelaburan RM1.83 bilion semata-mata kerana tidak dapat menerima kenyataan daripada Jabatan Peguam Negara bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan membuat perisytiharan palsu?

12. Tidakkah kelihatan seolah-olah tindakan BNM ini berniat jahat dan mahu menjadi ‘little Napoleon’? Bukankah ini keanak-anakan dan sama sekali tidak profesional?

Oleh Tun Faisal,
http://tunfaisal.blogspot.my/2015/10/1mdb-profesionalisme-bank-negara.html