1MDB : Khairuddin Dan Matthias Seksyen 124L Kanun Keseksaan Bukan SOSMA

KENYATAAN MEDIA OLEH PEGUAM NEGARA:
Dakwaan Ke Atas Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang.

Pada Isnin, 12 Oktober 2015, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang telah didakwa di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas cubaan mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tindakan ini telah dipersoalkan oleh beberapa pihak, termasuklah di dalam artikel yang diterbitkan oleh The Star pada 12 Oktober 2015, yang bertajuk “Dr M, Ku Li team up to slam SOSMA detention of 1MDB critics” yang disifatkan tindakan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Pejabat Peguam Negara menjelaskan, kedua-dua Khairuddin dan peguam beliau, Matthias Chang telah didakwa dibawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pejabat Peguam Negara seterusnya menjelaskan yang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah satu undang-undang yang berprosedur yang menyediakan langkah-langkah khas untuk membantu penyiasatan dan pendakwaan ‘kesalahan keselamatan’. Maksud ‘Kesalahan Keselamatan’ telah menjelaskan yang SOSMA tidak tertakluk kesalahan keganasan dan pengganas sahaja.

‘Kesalahan Keselamatan’ yang digariskan di bawah akta ini tertakluk kepada yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama di dalam SOSMA. Apabila SOSMA diwujudkan, ‘kesalahan keselamatan’ yang disenaraikan adalah kesalahan di bawah Bab VII Kanun Keseksaan (Kesalahan Terhadap Negara) dan Bab VIA Kanun Keseksaan (Kesalahan berkaitan dengan Keganasan).

Pada tahun 2014, senarai ini telah dipanjangkan untuk melibatkan Bab VIB Kanun Keseksaan (Jenayah Terancang), begitu juga dengan dengan kesalahan di bawah Bahagian IIIA Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Senarai ini dipanjangkan sekali lagi pada Jun 2015 untuk melibatkan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara 2015.

Seksyen 124L, Kanun Keseksaan adalah satu kesalahan di bawah Bab VI, Kanun Keseksaan. Ia merupakan salah satu dari tujuh kesalahan baru yang diperkenalkan di dalam Bab VI Kanun Keseksaan itu pada tahun 2012 melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012. Maka dengan itu, ia adalah ‘kesalahan keselamatan’ yang tertakluk di bawah SOSMA.

Tujuh kesalahan baru itu adalah:

– Aktiviti Yang Merosakkan Demokrasi Berparlimen (Seksyen 124B)
– Cubaan Untuk Melakukan Aktiviti Yang Merosakkan Demokrasi Berparlimen (Seksyen 124C)
– Penyebaran Maklumat (Seksyen 124H)
– Sabotaj (Seksyen 124K)
– Cubaan Untuk Melakukan Sabotaj (124L)
– Pengintipan (Seksyen 124M)
– Cubaan Melakukan Pengintipan (Seksyen 124N)

Kesalahan ini merupakan tambahan kepada kewujudan semula dengan pengubahsuaian untuk kesalahan-kesalahan tertentu yang pernah wujud di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, iaitu Seksyen-Seksyen baru 124D, 124E, 124F, 124G, 124L dan 124J. Penjelasan di atas boleh dilihat Bil Kenyataan Penerangan Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012.

Seksyen 124L, Kanun Keseksaan menyatakan “Sesiapa sahaja yang cuba melakukan sabotaj atau sebarang tindakan yang cenderung ke arah sabotaj boleh dihukum penjara untuk tenpoh yang boleh dipanjangkan sehingga 15 tahun”.

Di dalam hal ini, Seksyen 130A Kanun Keseksaan telah mendefinisikan terma “Sabotaj” sebagai sesuatu perbuatan atau kelalaian dengan niat untuk mendatangkan bahaya, antaranya kepada penyenggaraan “perkhidmatan keperluan”, manakala definisi “perkhidmatan keperluan” adalah termasuk perbankan dan perkhidmatan kewangan.

Pejabat Peguam Negara menyediakan penjelasan terhadap peruntukan undang-undang ini, yang terguna pakai di dalam kes Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang untuk mengelakkan lebih banyak kenyataan yang mengelirukan berkaitan dengan peruntukan undang-undang tersebut.

Walaubagaimanapun, Pejabat Peguam Negara tidak tertakluk untuk memaklumkan sebarang fakta mengenai kes mereka kerana kes tersebut akan dibawa ke mahkamah.

Pejabat Peguam Negara Malaysia
13 Oktober 2015

http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputaktap/20120622_A1430_BM_Akta%20A1430%20BM-kanun%20keseksaan%20(pindaan).pdf