1MDB Mahu Elak Perang Mulut Dengan Mana-Mana Ahli Politik

1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mengelak konfrontasi dengan ahli politik dan memberi tumpuan kepada strategi pengewangan asetnya.

Dalam satu temu bual dengan BBC hari ini, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, tugasnya adalah untuk memastikan 1MDB menjana hasil daripada asetnya, dalam cara yang memberikan hasil terbaik kepada pemegang saham.

“Kami mahu mengelak daripada terbabit perang mulut dengan mana-mana ahli politik. Saya bukan ahli politik, saya seorang ahli perniagaan. Persepsi terhadap 1MDB adalah buruk dan pelbagai usaha perlu dibuat untuk membetulkan isu itu,” katanya.

Arul Kanda berkata, 1MDB secara berterusan menegaskan, tidak ada dana daripada 1MDB telah dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan jelas menyatakan tidak ada dana daripada 1MDB pergi ke akaun peribadi Perdana Menteri dan ini adalah fakta.

“Mereka juga dengan jelas menyatakan, sumber dana US$700 juta itu adalah daripada penderma persendirian di Timur Tengah,” katanya.

Pada Ogos lalu, Arul Kanda berkata, langkah rasionalisasi 1MDB mampu mengurangkan hutangnya dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Menurutnya, pelabur yakin kepada aset 1MDB, iaitu Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan Edra Global Energy, berikutan asas ekonomi mereka yang kukuh.

“Edra Global Energy memperoleh pendapatan kira-kira RM5 bilion setahun, manakala 40 syarikat antarabangsa telah menunjuk minat menjadi rakan kongsi untuk membangunkan projek hartanah di Bandar Malaysia,” katanya.
http://www.bbc.com/news/business-34407665

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/01/1mdb-elak-konfrontasi-dengan-ahli-politik/