1MDB Tidak Wajar Jual Edra Kepada TNB Di Bawah Harga Pasaran.

1MDB tidak wajar jual Edra kepada TNB di bawah harga pasaran.

1. Berdasarkan laporan media dan beberapa sumber tidak rasmi dikatakan terdapat 7 pembida terhadap aset Edra Energy 1MDB. Khabarnya 1MDB menerima bidaan yang tinggi daripada firma pengeluar tenaga asing. TNB dikatakan membuat bidaan antara yang terendah. Begitu juga pembida tempatan yang lain seperti Malakoff dan YTL.

2. Sebelum ini 1MDB telah berkali-kali menjelaskan mereka mempunyai aset yang bernilai dan berpotensi. Jadi tidak hairan jika firma-firma asing seperti Nebras Power QSC, Qatar, CGN Meiya Power Holdings Co, Hong Kong dan ACWA Power International, Arab Saudi menawarkan harga yang tinggi untuk aset-aset 1MDB.

3. Saranan beberapa pihak agar aset 1MDB tidak dijual kepada pihak asing boleh difahami. Mereka mungkin bimbang sekiranya tarif yang tinggi dikenakan jika ia dipegang oleh pihak asing. Kebimbangan ini walaupun boleh diterima tetapi sebenarnya tidak 100% tepat.

4. Kebimbangan ini tidak tepat kerana dari 13 stesen janakuasa ini, hanya 5 berada di dalam negara. 8 lagi berada di luar negara dan tarif yang ditawarkan bukan ke atas rakyat Malaysia. Kedua, cuma stesen janakuasa yang dijual. TNB masih mempunyai kawalan terhadap tarif kerana ia mengendalikan transmisi dan menentukan harga. Stesen janakuasa hanya menawarkan tarif dalam bidaan kepada TNB dan TNB yang menentukan tarif ke atas pengguna.

5. Walaupun secara prinsipnya, kita mahu pihak tempatan memegang aset-aset 1MDB, tetapi ada beberapa persepsi negatif yang mungkin timbul jika ia dijual kepada TNB.

6. Pertama, dari segi menggalakkan persaingan dan mengurangkan kesan akibat monopoli. Salah satu objektif perniagaan 1MDB, seperti mana-mana syarikat milik kerajaan yang lain adalah untuk memastikan tarif kekal rendah untuk industri. Ini dibuktikan dalam pembidaan projek janakuasa Prai, di mana tarif yang ditawarkan 1MDB adalah 34.6 sen/kWh berbanding tawaran TNB pada 34.7 sen/kWh dan IPP-IPP lain, iaitu melebihi 35.9 sen/kWh. Dalam projek 3B, misalnya, sekali lagi terbukti bahawa tarif yang ditawarkan 1MDB semasa bidaan adalah lebih rendah, iaitu sebanyak 25.33 sen/kWh, manakala tarif TNB semasa pengambil alihan daripada 1MDB adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak 26.66 sen/kWh.

7. Kedua, adalah dari segi andaian penjualan ini merupakan ‘bail-out’. Walaupun ramai yang mahu TNB dan dana atau tabungan negara memiliki stesen janakuasa ini, namun ia akan dilihat sebagai tindakan menyelamat, lebih-lebih lagi jika pihak yang membida bukan di kalangan pemain industri.

8. Ketiga, jika Edra dijual pada harga yang rendah daripada harga pasaran, bukan sahaja ia dilihat sebagai tindakan ‘bail out’ dan 1MDB dalam keadaan terdesak, tetapi ia juga akan memberi gambaran yang salah bahawa Edra sedang dijual pada harga ‘firesale’.

9. Bagi mengelakkan persepsi-persepsi negatif ini, ada baiknya 1MDB menjual Edra kepada pembida tertinggi. Jika 1MDB masih mahu atau ‘TERPAKSA’ juga menjual kepada TNB, janganlah dijual kepada harga yang lebih rendah daripada harga bidaan yang ditawarkan oleh firma-firma asing. Proses ini mesti dibuat berdasarkan merit dan penilaian pasaran.

Oleh Tun Faisal,
http://tunfaisal.blogspot.my/2015/10/1mdb-tidak-wajar-jual-edra-kepada-tnb_2.html