Adakah Pakatan Pembangkang Masih Relevan Untuk Perbaiki Masalah Rakyat?

Pembangkang yang diketuai oleh Wan Azizah Wan Ismail sedang bertarung antara satu sama lain untuk muncul pemenang teori konspirasi terbesar. Mereka sentiasa sahaja mengeluarkan teori konspirasi yang bercampur-baur hingga boleh mengalahkan penjual cendol yang terulung di Malaysia.

Kelakar apabila melihat bagaimana pembangkang huru hara berkenaan hal usul undi tidak percaya ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak. Bersama-sama dengan penganjur BERSIH, mereka telah mengadakan perhimpunan jalanan besar-besaran selama lebih 24 jam untuk memaksa perdana menteri meletak jawatan. Rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan PM tidur di jalanan ketika perhimpunan tersebut. Apabila itu tidak berhasil, pembangkang mempamerkan diri mereka sebagai sekumpulan adiwira yang akan menyelamatkan Malaysia. Mereka bercakap secara terbuka mengenai undi tidak percaya. Apabila sesi parlimen semakin hampir, mereka akhirnya menyedari drama mereka semakin menghampiri ke penghujung. Maka, 1-2 minggu sebelumnya, individu seperti Rafizi Ramli mula mengutarakan idea yang usul undi tidak percaya ini tidak akan berhasil.

Sekarang, ianya berkisar mengenai seorang ahli parlimen yang dikehendaki supaya menarik balik usul undi tidak percaya itu bagi membolehkan Dr Wan Azizah sendiri membentangkan usul tersebut. Prosedurnya jelas. Sebarang usul mesti diserahkan kepada Speaker 14 hari sebelum parlimen mula bersidang supaya ianya dapat dibincangkan ketika sesi parlimen itu juga. Jika usul undi tidak percaya ditarik balik sekarang dan Dr Wan Azizah memfailkan usul yang baru, ianya tidak akan dapat dibincangkan pada sesi ini dan Speaker Dewan Rakyat sudah pun menjelaskan perkara ini kepada pembangkang. Pembangkang hanya bercakap mengenai perkara ini dan kemudiannya menjerit lantang menyalahkan Tan Sri Pandikar Amin apabila tiada apa yang berlaku. Itulah pembangkang. Sekumpulan individu yang sentiasa keliru dan tidak boleh diharap.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Pakatan akan menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika mereka berjaya menakluk Putrajaya. Penyokong pembangkang yang buta menyokong kenyataan yang delusional ini. Kenapa delusional? sebab Guan Eng ini suka mengitar semula konspirasi.

Pada Februari 2008, Lim berkata jika Pakatan menang di Pulau Pinang, tol Sungai Nyior di Seberang Perai akan dihapuskan. Kenyataan beliau itu keluar ketika penduduk sedang marah kerana plaza tol Sungai Nyior baru sahaja didirikan pada waktu itu. Sekarang sudah tahun 2015 dan plaza tol itu masih lagi berdiri tegak. Malah, kadar tol telah meningkat dari RM0.50 kepada RM1.20. Bukan itu sahaja, kerajaan DAP telah menambah beberapa lagi plaza tol di negeri tersebut.

Apabila kerajaan BN berpegang pada janji dan menghapuskan tol dengan membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuhraya, Pakatan kritik pula kata BN bayar terlalu banyak. Apabila BN menyeru penghapusan tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Lebuhraya Persekutuan tahun lepas, Pakatan menuduh BN cuba ambil kesempatan terhadap MB Selangor yang sedang lemah ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim. Sentiasa ada alasan dan sebab untuk semua perkara. Pembangkang tak buat kerja pun tapi hanya mengadu, mengadu dan mengadu. Patutlah yang mengetuai pembangkang sekarang tak ubah seperti bayi.

Konspirasi bazaar deepavali, Sarawak Report, 1MDB – semuanya angkara Tony Pua. Sekarang polis Thai sudah memberikan lampu hijau kepada IGP Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pasukannya untuk menyoal siasat Xavier Justo di Thailand berkaitan dengan kes 1MDB dan pengubahsuaian dokumen. Hanya menunggu masa sebelum Tony Pua menyalak lagi satu berkenaan konspirasi yang lain pula. Penulis skrip mesti sedang sibuk. Perhimpunan Bersih di Thailand mungkin? Dengan Singapura juga sedang mengkritik DAP, mungkin ada Perhimpunan Bersih tidak lama lagi di sana juga?

Saya tahu pandangan saya ini akan ‘dibelasah’ jika media pro pembangkang menyiarkannya, tetapi saya tidak takut dengan kebenaran. Kritik lah saya sebanyak mana yang anda mahu tetapi anda tidak akan boleh menafikan yang pembangkang Malaysia adalah sampah. Jika anda fikir pembangkang akan dapat menjatuhkan Najib, teruskan berangan. Tiada apa yang akan berlaku kerana apa yang anda akan dapat adalah konspirasi yang lebih banyak!

Daripada mengharapkan BN dikalahkan, cuba bentuk pakatan yang akan bertahan lama dahulu. Dari Pakatan Rakyat kepada Pakatan Harapan. Seterusnya apa? Pakatan Konspirasi?

Oleh Rasyhid Hamzan,
http://www.malaysia-today.net/conspiracy-of-the-conspirators/