ADUN DAP Selar Kepimpinan DAP Yang Tidak Mampu Untuk Bertolak Ansur Dengan Pandangan Yang Berbeza.

Sehari selepas meletakkan jawatan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Skudai, Dr Boo Cheng Hau mendakwa kepimpinan semasa DAP sebagai ‘Rumah Gila Soviet’ (Soviet madhouse)

‘Soviet madhouse’ merujuk kepada sekumpulan pemimpin blok komunis Rusia yang berperangai gila iaitu gila kuasa, rakus dan tidak berperi kemanusiaan ketika berperang dengan Amerika Syarikat semasa era Perang Dingin.

Dr Boo menyifatkan mereka itu seperti ‘Soviet madhouse’ kerana tidak mampu untuk bertolak ansur dengan pandangan yang berbeza.

“Saya akui bahawa ia adalah satu kesilapan terbesar saya membuka pintu-pintu Johor kepada jawatankuasa (DAP) pusat untuk bertanding pada pilihan raya umum lepas.

“Ia seperti suatu tindakan yang memalukan apabila pengkhianat yang tidak berterima kasih telah terlupa dengan usaha saya untuk mengembangkan parti daripada seluruh peringkat akar umbi selama ini.

“Saya tidak meminta ucapan terima kasih tetapi mereka tidak perlu sehingga membunuh watak saya. Lebih buruk lagi, para pengkhianat itu pernah menjadi sekutu rapat saya, “katanya di pejabatnya di Skudai semalam, lapor The Star.
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/10/13/Treachery-in-Johor-DAP-Boo-Leadership-incapable-of-accepting-different-opinions/

Dakwa Dr Boo, pengkhianat telah menikam belakangnya sejak pemilihan DAP pada tahun 2013, di mana ketika itu walaupun beliau menang salah seorang kepimpinan DAP Johor, namun jawatan Pengerusi DAP negeri telah dirampas oleh pendatang baharu, Liew Chin Tong.

“Saya telah ‘ditikam’ oleh pemimpin-pemimpin yang lebih muda, dan diketepikan acara semasa, aktiviti DAP di sini selama lebih dua tahun yang lalu,” kata Dr Boo, dengan mendakwa bahawa terdapat satu arahan bertulis menentangnya telah dimasukkan dalam acara-acara parti dalam lain-lain kawasan pilihan raya.

“Malah mereka yang menjemput saya kadang-kadang telah diberikan amaran yang keras,” katanya

Pada Ahad, Dr Boo, yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang negeri sejak dari 2008 dan sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi DAP Johor selama sembilan tahun, telah gagal mendapat undi yang mencukupi dalam pilihan raya negeri parti, untuk menduduki salah seorang daripada 15 orang kepimpinan negeri.

Dr Boo mendapat tempat ke-16 dengan 164 undi daripada 31 calon yang bertanding.

Pada pilihan raya umum lepas, satu gerombolan ‘calon DAP luar’ dengan restu kepimpinan DAP pusat telah menerobos masuk ke Johor untuk bertanding yang dikatakan telah menjadi punca krisis dalaman Dr Boo dengan Dinasti Lim.

Dinasti Lim yang merujuk kepada Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng serta konco-konco penyokong utama dinasti tersebut.

Calon DAP luar yang dimaksudkan itu diketuai oleh Lim Kit Siang dari Parlimen Ipoh Timur (Perak) bertanding di Gelang Patah.

Turut dibawa bersama Kit Siang adalah orang-orang kepercayaan iaitu Liew Chin Tong dari Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang bertanding di Kluang dan Teoh Nie Ching dari Parlimen Serdang, Selangor dipindah ke Kulai.

Manakala, Wong Shu Qi yang bertugas di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur dipindahkan bertanding di DUN Senai, Johor.