Bekas Ahli UMNO Dan Peguammnya DItahan Atas Tuduhan Sabotaj Khidmat Perbankan

Bekas Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan cuba mensabotaj khidmat perbankan dan kewangan terhadap Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 28 Jun dan 29 Ogos tahun ini di beberapa lokasi termasuk balai polis di Paris, Perancis, Switzerland, Hong Kong, London dan Singapura.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 124 (L) Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan sabotaj yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah akan membuat keputusan untuk menentukan sama ada kes itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi hari ini.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Mohd Masri Daud memohon tempoh sebulan bagi menyediakan dokumen yang relevan untuk mengetepikan dakwaan di bawah Akta Keselamatan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun peguam Haniff Khatri Abdulla membantah tempoh satu bulan dan memohon Mahkamah Majistret membenarkan ikat jamin terhadap dua tertuduh atau kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, hari ini.

Majistret Siti Radziah Kamardin menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Hanif ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu pemberita bahawa pasukan peguamnya memohon semakan semula dengan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Mahkamah Majistret.

Terdahulu, tuduhan ke atas Khairuddin dibacakan dalam Bahasa Malaysia manakala Chang pula dibacakan dalam Bahasa Inggeris.
Chang ketika di bawa ke mahkamah turut memberitahu keluarganya yang hadir bahawa hari ini merupakan hari kelima mogok laparnya.

Khairuddin ditahan pada 23 September di bawah SOSMA manakala Chang ditahan pada 8 Oktober di Balai Polis Dang Wangi.