Bekas No 2 Cawangan Khas Bongkar Skandal Untuk Bertanding Pilihanraya?

Bekas orang nombor dua Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador telah meminta mantan Peguam Negara, Gani Patail untuk mendedahkan segala kontroversi yang telah melanda negara ini. Di dalam masa yang sama juga Hamid mendakwa Gani juga terlibat dalam satu skandal tetapi itu tidak menghentikan beliau dari terus berkata-kata. Lagipun menurut Hamid, skandal Gani tidaklah seteruk membenarkan RM42 bilion hilang begitu sahaja, seperti yang didakwa oleh Tun Mahathir.

Sangat menarik apabila melihat orang nombor dua Cawangan Khas bersikap seperti Tony Pua dan Rafizi Ramli, walaupun usia mereka jauh berbeza. Maksud saya, orang yang masih amatur dan ahli politik sebegini boleh dimaafkan kerana mempunyai satu perangai yang dipanggil oleh orang Melayu sebagai mulut laser. Tetapi untuk orang yang matang dan berpengalaman seperti Hamid untuk bertindak sebegini, ianya semestinya memeranjatkan.

Pada masa lalu, tidak ramai orang yang tahu siapakah sebenarnya pegawai atasan Cawangan Khas. Mereka kalau di UK akan dipanggil hantu. Hantu yang kebiasaanya tidak akan dilihat walaupun anda syak mereka wujud dan bersembunyi di sebalik bayang-bayang. Tetapi hantu Malaysia kini bukan lagi hantu tetapi ianya boleh dilihat dan sangat bising.

Sejarah telah membuktikan penjawat awam, pegawai polis, pegawai tentera (terutamanya mereka yang baru sahaja bersara atau akan bersara) tiba-tiba akan berkelakuan seperti Lim Kit Siang jika ingin melobi untuk bertanding di dalam pilihanraya umum akan datang.

Boleh kita anggap yang Hamid sebenarnya ingin menyertai PAN (atau mungkin sahaja DAP) dan akan bertanding di dalam pilihanraya umum akan datang? Saya yakin, dengan cara beliau ‘beraksi’ kini, beliau boleh menang di mana sahaja beliau bertanding nanti (sekiranya beliau bertanding). Aduh. Semua orang nak jadi Yang Berhormat. Nampaknya kita perlu mewujudkan lebih banyak kerusi. Nampaknya jumlah 800 kerusi parlimen/DUN sekarang tidak mencukupi untuk begitu ramai ‘pejuang rakyat’ yang tiba-tiba muncul sekarang.

Apapun, menurut Hamid, Gani sendiri dipalit skandal. Sebab itu beliau diam dan enggan berbicara mengenai 1MDB. Saya pasti Cawangan Khas pastinya tahu mengenai hal ini memandangkan ianya tugas mereka untuk mengikuti skandal yang melibatkan VIP.

Tetapi apa yang paling mengejutkan adalah sekiranya Cawangan Khas tahu mengenai salah laku yang melibatkan Gani semasa beliau menjadi Peguam Negara, mengapa ianya tidak didedahkan lebih awal? Adakah Peguam Negara kebal dari tuduhan skandal? Jika Peguam Negara mempunyai skandal, bukankah ini akan membuka ruang ugutan dan ancaman terhadap beliau?

Dan inilah sebenarnya yang memerlukan jawapan. Jika Gani terlibat di dalam skandal, seperti yang disebut Hamid, adakah ini sebabnya beliau diugut untuk menyertai konspirasi unutk menjatuhkan PM Najib? Adakah Gani telah diberitahu yang sekiranya beliau tidak menyertai konspirasi untuk menjatuhkan PM Najib, segala salah laku dan skandal beliau akan didedahkan?

Ya, itulah yang paling menarik sebenarnya. Jadi memang benar Gani terpalit skandal. Dan beliau diugut kerana itu. Dan Hamid berkata beliau diugut supaya diam dan tidak berbicara mengenai 1MDB. Tetapi mungkin juga perkara yang sebaliknya berlaku? Adakah sebab beliau diugut supaya menyertai konspirasi itu yang sekiranya beliau enggan, segala salah laku beliau akan didedahkan?

Satu fakta paling penting yang tak boleh diabaikan adalah Cawangan Khas tahu mengenai salah laku Gani tetapi beliau telah dlilindungi dan telah dibenarkan untuk terus berkhidmat sebagai Peguam Negara.

Hmmm..bukankah Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berkata yang Malaysia adalah negara dengan infrastruktur kelas pertama yang mempunyai mentaliti kelas ketiga? Hanya negara yang mempunyai mentaliti kelas ketiga yang akan membenarkan Peguam Negara yang mempunyai skandal untuk terus berkhidmat di bawah perlindungan Cawangan Khas.

Saya diberitahu, bukan Gani sahaja pegawai kanan kerajaan yang mempunyai skandal yang dilindungi dan dibenarkan untuk terus berkhidmat. Ada seorang pegawai kanan SPRM yang melakukan hubungan seks dengan salah seorang staf beliau di dalam pejabatnya sendiri. Nampaknya pejabat dah jadi bilik tidur.

Segala di atas membuatkan seseorang tertanya-tanya sama ada tuduhan skandal dan salah laku yang melibatkan kesemua mereka yang berkonspirasi adalah benar. Apapun, itu kita boleh kupas di lain masa kerana kesemua itu pasti akan terdedah apabila tiba masanya. Lagipun, inilah tujuan Malaysia Today, untuk mendedahkan kisah yang tersembunyi.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/now-the-special-branch-is-saying-the-attorney-general-is-a-crook/