Boikot Tun M Jadi Alasan Kutipan Filem “Kapsul” Rendah

Filem KAPSUL didakwa diboikot dan mendapat kutipan rendah di pawagam kerana menampilkan Tun Mahathir.
http://www.ohbulan.com/pengarah-kecewa-filem-kapsul-diboikot-orang-dalam-kerana-ada-tun-mahathir/

Wahai rakyat Malaysia, janganlah begitu. Industri kreatif negara ini tidak akan maju jika kita sendiri yang tidak menyokongnya. Filem KAPSUL sendiri mengandungi kira-kira 60% elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat yang kesemuanya adalah anak tempatan.

Walaupun sekarang negara dilanda isu hangat perang dingin di antara Tun Mahathir dengan Perdana Menteri Najib Tun Razak, sokonglah industri kreatif dan perfileman tempatan. Jangan jadikan mereka yang berpenat lelah menghasilkan produk untuk generasi muda menghayati sejarah perjuangan serta survival bangsa melalui filem fiksyen menjadi mangsa.

Bagaimana industri filem tempatan boleh maju jika kita asyik dibuai dan menyokong filem-filem berbentuk hiburan semata-mata.

Sebenci mana anda pada Tun Mahathir mahupun Najib Razak, anda tidak boleh sama sekali nafikan sumbangan dan jasa mereka kepada negara.
——–
KAPSUL merupakan sebuah penerbitan filem cereka bergenrekan fiksyen, diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Perdana Menteri Menteri Ke-4, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Idea filem ini adalah hasil intepretasi penulis tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Tun Dr. Mahathir menjelang tahun 2020.

Filem ini dibintangi oleh Faizal Hussein dan dibantu oleh lebih 30 orang pelakon terkenal tanahair serta hampir 200 orang pelakon tambahan.

KAPSUL merupakan filem cereka terbitan sulung syarikat Two Tones Sdn. Bhd. di mana pemiliknya, Haji Amru Najmi Haji Osman juga bertindak selaku Penerbit dan Pengarah Kesan Khas filem ini. Memiliki status syarikat MSC (Multimedia Super Corridor) Malaysia, Two Tones telah beroperasi di Cyberjaya lebih 14 tahun dan terlibat dalam beberapa penerbitan kandungan kreatif menerusi kepakarannya dalam bidang kesan khas serta imej janaan komputer (CGI).

Antara hasil kerja syarikat ini adalah elemen-elemen CGI yang terdapat dalam penerbitan filem dokumentari terbitan History Channel, “Lost Over France : Malaysia’s Unsung Heroes, Remembering The Talalla Brothers” dan filem “Libas”. Filem KAPSUL sendiri mengandungi kira-kira 60% elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat yang kesemuanya adalah anak tempatan. Memandang ke masa hadapan, Hj. Amru bercita-cita memeriahkan lagi dunia perfileman tanahair melalui penghasilan filem-filem berkualiti tinggi dan mempunyai keunikan serta kekuatan tersendiri seperti filem “The Adventure of Buntat” yang sedang dalam proses pembangunan skrip.

Filem yang menelan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM2.3 juta ini dijangka bakal menemui penonton di 50 pawagam di seluruh negara bermula pada 17 September 2015.

Lihat trailer: