DAP pilih untuk berbincang secara dalaman dan tidak meneruskan saman terhadap Jabatan Agama Islam Pahang

DAP Pahang hari ini membuat pusingan U apabila menangguhkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhubung khutbah Aidiladaha yang dikeluarkan Jabatan Mufti negeri itu yang didakwa memfitnah parti berkenaan.

Pada 26 September lepas, Tengku Zulpuri telah membuat ugutan terhadap JAIP supaya memohon maaf secara terbuka serta menarik balik teks khutbah tersebut dalam masa lima hari dari tarikh tersebut (28 September) jika tidak bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Namun selepas lapan hari daripada tarikh ugutan itu, Tengku Zulpuri hari ini berkata beliau tidak meneruskan tindakan undang-undang sepertimana yang diikrarkan sebelum ini, sebaliknya beliau sendiri akan berjumpa dengan pihak JAIP untuk proses rundingan.

“Islam mementingkan akhlak dan teguran wajar disampaikan dengan baik, bukan melempar tuduhan tanpa usul periksa.

“Kita mahu berbincang secara dalaman bagi mendapatkan penjelasan serta bukti terhadap apa yang telah dinyatakan dalam khutbah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, Jumaat.

Mengenai tindakan undang-undang, Tengku Zulpuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab berkata, perkara itu hanya akan dilakukan sekiranya perlu, namun menegaskan bahawa penyelesaian secara berhemah adalah lebih baik pada masa ini.

“Kita tunggu dulu (tindakan undang-undang). Biarlah kita selesaikan perkara ini secara baik. Kita ini orang Islam, jadi perlu fikir saluran yang lebih baik dahulu (selesaikan),” katanya.

Ditanya bilakah pertemuan itu akan diadakan, beliau berkata, pihaknya akan menghubungi Jabatan Mufti Pahang dan menjangkakan ia dapat diadakan minggu depan.

“Harap mereka dapat terima kita untuk adakan perbincangan secara dalaman. Kita akan tunggu respons mereka,” kata Tengku Zulpuri.

Terdahulu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bagaimanapun bertegas tidak akan tunduk kepada tuntutan DAP itu sambil mempertahankan teks khutbah berkenaan tidak langsung berbaur fitnah, sebaliknya adalah nasihat kepada umat Islam agar bersatu.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan jabatan berkenaan, umat Islam di negara ini berpecah kerana ideologi politik berbeza.

“Perpecahan ini kerana umat Islam lebih mengutamakan parti politik seperti Umno, Pas, PKR dan juga Gerakan Harapan Baru, lebih daripada Islam.

“Malahan terdapat segelintir umat Islam yang menyertai DAP, yang jelas bertentangan dengan Islam,” menurut teks khutbah itu.