Dr Qardawi Menyatakan Haram Menubuhkan Parti Baru Kerana PAS Sudah Ada.

Haram menubuhkan parti baharu iaitu Parti Amanah Negara kerana PAS sudah ada, kata Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berceramah di Morak, Tumpat, Kelantan, pada 18 Oktober.

“Saya pun menulis surat menerangkan tentang parti baru ini. Selepas surat itu sampai kepadanya, Dr Qardawi menyatakan haram menubuhkan parti baharu kerana PAS sudah ada.

“Pendapatnya ini turut ditulis oleh setiausahanya,” kata Abdul Hadi yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.

Petikan ucapan Abdul Hadi :

Saya dapat berita mereka (Parti Amanah Negara) telah menjelajah ke seluruh dunia berjumpa gerakan Islam. Pergi ke Tunisia, Jordan, Qatar, Turki. Rombongan mereka turut disertai DAP. Tujuannya untuk belajar tentang hudud dari mereka yang tidak laksanakan hudud.

Mereka turut berjumpa Dr Yusof Qardawi. Kebetulan saya dijemput ke Persidangan Gerakan Islam di Turki. Beberapa pemimpin gerakan Islam berjumpa saya bertanyakan perihal parti Islam baharu di Malaysia. Saya terangkan keadaan sebenar kepada mereka.

Kembalinya saya dari Turki, mereka (Amanah) sampai ke rumah Dr Qardawi. Lantas Qardawi menghubungi saya untuk mendengar sendiri apa pendapat kita. Saya pun menulis surat menerangkan tentang parti baharu ini.

Selepas surat itu sampai kepadanya, Dr Qardawi menyatakan haram menubuhkan parti baru kerana PAS sudah ada. Pendapatnya ini turut ditulis oleh setiausahanya.

Umur Dr Qardawi kini melebih 90 tahun. Lebih tua dari Tok Guru Nik Aziz. Fizikalnya sangat uzur, tetapi semangatnya masih kuat. Fikirannya juga masih baik. Jangan pula bila mendengar fatwa Qardawi ini, mereka katakan pendapat Qardawi tidak boleh diterima kerana sudah nyanyuk. Nauzubillah.

Alhamdulillah. Rasanya tak perlulah lagi kita besarkan-besarkan perkara ini. Nanti ia dianggap besar pula. Padahal perkara ini hanya kecil dan (parti Amanah) hanya serpihan sahaja.