Kartel Azmin kini sedang bersatu dengan kumpulan-kumpulan kecil yang kecewa dengan keangkuhan Rafizi yang menjadikan Wan Azizah sebagai perisai.

Sejak pemilihan di Kemaman dan keputusan penggabungan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Keadilan Nasional, fraksi atau kem dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah amat jelas. Ketika pemilihan era Kemaman dan penggabungan, jelas wujud kem Pro ABIM dan Kem bukan ABIM yang menggunakan istilah Reformis.

Namun parti terus bergerak dengan PKR hilang beberapa tokoh antaranya Anuar Tahir yang kemudian memasuki PAS (kini setiausaha Amanah).

Selepas itu melalui beberapa pemilihan mula wujud fraksi Azmin dan bukan Azmin. Namun fraksi Azmin semakin menguat selepas keluarnya Anwar Ibrahim dari penjara dan keluarnya Ezam dari PKR.

Namun atas semua itu PKR terus juga ‘hidup’ atas sokongan rakyat walaupun hakikatnya mengalami pasang surut jentera dan kekuatan parti.

Banyak watak dilihat surut naiknya. Rafizi contohnya antara exco Pemuda Keadilan Nasional yang meletakkan jawatan ‘merajuk’ senyap sebelum masuk semula selepas pembebasan Anwar (tarikh yang tepat ialah setelah dia dipujuk untuk menjadi antara pemikir menyiapkan isi ucapan Anwar dalam debat minyak dengan Shabery Chik).

Pemilihan 2010 pula cheGuBard sendiri jadi ‘mangsa’ kerana dilabel Kem Zaid Ibrahim yang dituduh agen Umno hanya kerana melawan Azmin. Selepas dari ini cheGuBard ambil keputusan perlu punya platform luar kerangka parti yang lebih kritikal dan bebas.

Pemilihan 2013 pula korbannya sangat besar iaitu Tan Sri Khalid yang tiba-tiba dilabel agen Umno hanya kerana melawan Azmin Ali. Saifuddin ketika itu walaupun melawan Azmin tetapi mungkin pengalaman politik dia cekap mencerap dan pulih semula selepas kekalahan dan dilantik Pengarah Pilihanraya bersama Nurul Izzah.

Sepanjang dari pemecatan Anwar dan terpenjaranya dia bukan sedikit gerakan ‘Reformasi’ ini kehilangan guna tenaga tanpa berselindung kerana pertembungan dan kerana Anwar mempertahankan Azmin Ali.

Ramai mengatakan Anwar sayang Azmin kerana Azmin setia? Setiakah Azmin? Ramai tentu ingat bagaimana dia menggerakkan jentera budak-budak mudanya menyerang keluarga Anwar selepas PRU lepas. Kerana Anwar tidak tunaikan kehendak dia ingin menjadi MB Selangor, Anwar diserang tanpa henti.

Istilah ‘Istana Segambut’ dan pelbagai konotasi negatif yang digunakan Umno kini ialah hasil ciptaan budak-budak Azmin.

Azmin menggerakkan jentera mensabotaj gerakan Blackout 505. Azmin ahli politik cekap, dia gerakkan jentera sabotaj Blackout 505 tetapi dia sendiri hadir dan duduk bersila paling depan. Dia keluar TV3 serang Presiden namun semua tidak kena tindakan.

Menyebut peristiwa 505 ramai tentu tidak tahu ketika malam keputusan pilihanraya Azmin paling lewat hadir ke lokasi pengumpulan tokoh PKR (dan PR). Rekod menyatakan dia mengadap ‘god fathernya’ dahulu.

Dalam isu lobi diri sendiri guna pintu belakang untuk jadi MB secara jelas dia menggunakan ‘network’ godfathernya untuk memalukan Azizah. Namun semuanya tidak dikenakan tindakan.

Kini dia semakin menjolok mata apabila sebaik sahaja Wan Azizah mengumumkan wujudnya Pakatan Harapan. Ramai menyambutnya dengan menghela nafas lega kerana sekurang-kurangnya wujud sebuah gabungan politik baru (hentinya polimik politik pembangkang) untuk membawa harapan rakyat namun Azmin dengan sombong menyatakan Pakatan Harapan tidak ada kena mengena dengan Selangor.

Maruah Wan Azizah diselamatkan Lim Guan Eng apabila Pulau Pinang mengumumkan sebagai diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Tidak dinafikan pengumuman Wan Azizah agak terlalu cepat dan ramai mengatakan ia diatur oleh Rafizi dan pasukanya. Dalam hal ini tidak dinafikan ia agak tidak tersusun, sidang meja bulat seharusnya membincangkan dan mendapat input tetapi ramai terkejut apabila sidang meja bulat untuk mendengar pandangan namun Rafizi sudah ada keputusan bagi mengikat semua agar bersetuju.

Oleh kerana ini Ambiga keluar awal dan ramai tidak selesa.

Kesempatan ini diambil pantas oleh Azmin dan kartelnya. Satu petisyen telah dilancarkan untuk memaksa satu Mesyuarat MPP khas bagi menarik semula penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan. Ia ditandatangani oleh majoriti MPP PKR. Ini tidak pelik kerana majoriti MPP kini pro-Azmin di mana kerusi tersebut mereka perolehi dari pemilihan yang penuh pertikaian.

Ini ialah coup d’etat (rampasan kuasa). Ini ialah usaha undi tidak percaya yang dipelopori kartel Azmin ke atas Wan Azizah ketika Anwar terpenjara.

Bayangkan nanti MPP akan mengambil keputusan U Turn dalam usaha Pakatan Rakyat, di mana Wan Azizah hendak letak muka. Dia yang panggil sidang meja bulat, alih-alih dia yang umum PKR sendiri tidak restui Pakatan Harapan ?

Maka ini jelas satu usaha undi tidak percaya kartel Azmin ke atas Wan Azizah.

che’GuBard hanya memerhati dari luar selaku anggota seumur hidup tanpa jawatan yang hanya baru dilepaskan penggantungan. Ini masa cabaran buat Wan Azizah. Jika dia lepas cabaran ini maka dia akan jadi ahli politik ampuh yang sebenarnya.

Kartel Azmin kini sedang bersatu dengan kumpulan-kumpulan kecil yang kecewa dengan keangkuhan Rafizi yang menjadikan Wan Azizah sebagai perisai. Maka pasukan ini cukup besar… saya doakan Wan Azizah berjaya sukses lepasi ujian ini.

Kepada MPP dan pengerusi hubungan yang bakal mengundi, saya cadangkan kekalkan keputusan kewujudan dan penglibatan PKR dalam Pakatan Harapan jangan kecewakan rakyat serta malukan parti dan Presiden sendiri. Yang selebihnya bincangkan dengan baik.

Kepada Wan Azizah belajarlah kesilapan Anwar iaitu kamu ada banyak panglima setia tapi kamu sendiri singkirkan mereka kerana tenggelam dalam fatamorgana puji dan puja.

Kem Najib sudah tentu tertawa kerana kita ternanti undi tidak percaya Umno terhadap Najib yang tidak wujud pun tetapi kini kita sendiri berdepan dalam situasi lebih kritikal.

Kepada ahli bawahan sila hubungi MPP yang kamu undi beritahu mereka sila waras !!!!

Sebelum lupa saja nak bagi tahu Azmin dan Kamarul ialah antara MP yang masih tidak menyerahkan tandatangan komitmen mereka kepada Ketua Whip Ahli Parlimen PKR bagi mengikat mereka untuk misi undi tidak percaya pada PM…. Berapa banyak kolam lah Azmin ni main yer…

Oleh Chegubard,
http://chegubard.blogspot.my/2015/10/coup-de-tat-dalam-pkr.html?m=1