Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang Politikkan Pendidikan

Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) kesal di atas sikap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang secara tiba-tiba menafikan bantuan kewangan tahun ini kepada Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).

Sesuatu yang aneh, pelik dan meragukan apabila surat makluman pemberian bantuan yang diserahkan kepada wakil SRIA oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) pada 3hb September 2015 secara tiba-tiba ditarik balik pada hari yang sama.

BPPNPP tidak menafikan peruntukkan kepada SAR tahun ini telah diagihkan oleh Kerajaan Negeri walaupun ‘lewat’ hingga ke penghujung tahun. Namun, persoalannya mengapa dua buah sekolah ini dikeluarkan daripada senarai penerima?

Lebih musykil apabila bantuan yang telah diberikan semenjak 2009 itu, tiba-tiba diputuskan untuk tidak diteruskan pada tahun ini. Alasan diberi, Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah menyediakan ‘geran tetap’ dan sebaliknya diberikan secara bergilir-gilir berdasarkan keperluan.

Jika demikian, sila kemukakan laporan kajian berasaskan keperluan yang dimaksudkan untuk memberhentikan bantuan. Realitinya semua SAR di negeri ini masih memerlukan bantuan dan sokongan.

Bermakna, Tahun Baharu Hijrah 1437 yang disambut hari ini oleh seluruh umat Islam terpaksa dirai dengan linangan air mata dan kesedihan oleh para guru, kakitangan, ibu bapa, para pelajar dan seluruh warga SRIA dan SRIBU di atas tindakan yang tidak bertamadun ini.

BPPNPP sekali lagi mendesak agar Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dapat bertindak telus dalam isu ini. Kami juga mengingatkan agar tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk menafikan bantuan kepada dua buah SAR ini. Lebih-lebih lagi, masa hadapan lebih 500 pelajar yang kebanyakannya terdiri dari pelajar miskin termasuk hampir 80 kakitangannya bakal terjejas dari keputusan tersebut.

Perlu diingat dana yang diuruskan Kerajaan Negeri adalah milik Rakyat khususnya pembayar cukai termasuk juga terdiri dari kalangan ahli-ahli dan pemimpin PAS.

BPPNPP menggesa Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dapat bersikap profesional seperti Kerajaan Negeri pimpinan PAS di Kelantan yang masih meneruskan bantuan kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang tidak mencontohi segala tingkah laku Umno-BN untuk memastikan sebuah kerajaan yang bakal mengambil alih Putrajaya nanti adalah sebuah kerajaan yang adil, telus dan saksama buat seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (QS Al Maaidah [5]:8)

Mudah-mudahan, kenyataan Ketua Menteri yang kerap mahu mencontohi Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz yang memiliki sifat kebijaksanaan, keadilan, jujur dan berani lahir dari hati beliau yang ikhlas dan bukan hanya momokan politik murahan untuk mengaburi rakyat agar dapat terus kekal berkuasa.

Kembalikan bantuan kepada SRIA dan SRIBU.

MOHD YUSNI BIN MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri
Pulau Pinang.
14 Oktober 2015/
1 Muharram1437