Kita, Semestinya Tiada Pilihan Melainkan Untuk Bekerjasama Dengan Apa Sahaja Sistem Dan Pemimpin Yang Muncul Di Malaysia

Apa yang difikirkan oleh rakyat Singapura berkenaan pelbagai perkara yang terjadi di Malaysia kebelakangan ini? Bersih. Pesaka. 1MDB. Pemecatan Timbalan Perdana Menteri. Protes dan protes balas.

Adakah kita sendiri begitu tertarik untuk mengambil tahu apa yang terjadi di Seberang Tambak, yang tak ubah seperti bunyi loceng yang sayup-sayup, yang mungkin akan mengejutkan sekali sekala? Sistem kita berfungsi dengan baik, jadi mari kita fikirkan hal kita sendiri.

Jika inilah sifatnya, ianya salah. Kita sememangnya berbeza. Tapi saya fikir Malaysia sedang menghadapi satu perubahan yang mungkin akan memberikan kesan berkekalan dan mendalam kepada kita sebagai rakyat.

Semenjak 1957, pertamanya sebagai Malaya kemudiannya Malaysia, ianya ditubuhkan atas kesan politik dan sosial yang bertunjangkan ketuanan Melayu. Selagi ianya tidak dicabar, kaum lain bebas untuk melakukan apa sahaja. Dalam terma politik, sistem ini dapat dilihat melalui satu gabungan parti politik berbilang kaum dengan satu parti melayu yang dominan – United Malays National Organization atau UMNO – sebagai pusatnya.

Kaum Cina diwakili oleh Malaysian Chinese Association (MCA), yang kemudiannya disertai oleh Gerakan; kaum India oleh Malaysian Indian congress (MIC). Dua parti pembangkang, Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada dasarnya adalah berbilang kaum, tetapi secara praktikalnya dikuasai oleh orang Cina dan Melayu.

Adalah sebab dari keengganan kita sendiri untuk menerima tunjang utama sistem ini yang menyebabkan perpisahan kita dengan Malaysia pada tahun 1965. Tetapi ianya sistem yang berfungsi dengan baik dan sehingga baru-baru ini, ianya memberikan kesan yang baik kepada Malaysia. Walaupun berhadapan dengan hubungan dua hala yang kompleks yang kadang-kalanya tegang, semenjak 50 tahun lepas, ianya adalah satu sistem yang kita belajar untuk proses adaptasi walaupun selepas itu kita membawa haluan sendiri.

Sistem tersebut kini berhadapan dengan tekanan yang cukup besar. Tidak dapat dipastikan sama ada ianya akan dapat bertahan atau tidak.

TITIK TEKANAN.

Titik tekanannya adalah agama. Pengaruh Arab dari Timur Tengah, selama beberapa dekad, telah berjaya menghakis nilai Melayu di dalam Islam iaitu adat tradisi yang selari dengan Al-quran yang banyak bersifat melengkapi dan toleransi. Hasil dari pengaruh arab ini, Islam menjadi semakin eksklusif dan tafsirannya semakin terhad. Ini adalah salah satu dari aspek dari proses globalisasi yang berbentuk sosio budaya dan bukan setakat fenomena ekonomi. Ianya telah mengubah tekstur masyarakat Melayu.

Adalah mustahil bagi mana-mana negara untuk memencilkan diri dari proses globalisasi. Agama di Singapura tidak imun kepada kesan globalisasi dan ianya tidak terhad kepada komuniti Muslim sahaja. Kristian Evangelikan adalah satu contoh. Tetapi Singapura adalah satu negara yang sudah stabil dari segi prinsip meritokrasi berbilang kaum. Selagi ianya diterima oleh kesemua kaum dan agama sebagai asas identiti kita, kesan politik yang paling menakutkan pun akan berjaya dikurangkan. Di dalam sistem Singapura, agama – setiap agama – dan politik adalah terpisah, maka setiap agama akan saling wujud dengan politik menjadi pentadbir yang neutral tanpa dibabitkan dengan agama.

Perkara yang sama tidak terjadi di Malaysia.

Prinsip ketuanan Melayu termaktub jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan, yang juga meletakkan Islam sebagai komponen pertama dalam definisi Melayu. Ini menjadikan gabungan budaya dan agama tidak dapat dielakkan. Pemimpin UMNO tidak dapat menahan godaan dalam menggunakan agama untuk memperolehi kelebihan di dalam pilihanraya. Mereka bertindak mengikut logik sistem yang semakin berubah-ubah.

Pada tahun 2001, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah melakukan satu kesilapan asas politik iaitu cuba menafikan PAS dengan berkata Malaysia sudah pun bergelar negara Islam. Satu krisis perlembagaan tercetus. Tapi kesan terbesar adalah adalah ia secara politiknya tidak sah di sisi undang-undang. Pengisytiharan terburu-buru Tun Dr Mahathir telah memberikan perhatian politik yang lebih tajam kepada perubahan tafsiran Islam yang sedang mengambil tempat dan menjadi pemangkin kepada satu dinamik yang kompetitif di mana mereka yang sederhana di dalam pemahaman dan praktikal agamanya akan terkepung dan dinafikan hak bersuaranya.

Hasilnya, terdapat penekanan yang lebih jelas di dalam aspek agama ke atas identiti politik UMNO dan ruang politik dan sosial yang semakin sempit untuk bukan muslim.

Kaji selidik menunjukkan masyarakat Melayu Islam melihat nilai Islam lebih dari kualiti lain apabila memilih pemimpin. Satu kaji selidik oleh Merdeka Centre pada tahun ini mendedahkan yang 60 orang Melayu Malaysia mengenal pasti diri mereka sebagai seorang Muslim, bukan seorang rakyat Malaysia atau orang Melayu. Demografi menjadi penyebab kepada perkara ini. Pada tahun 1957, kaum Cina mewakili 45% keseluruhan jumlah penduduk Tanah Melayu. Pada tahun 2010, mereka mewakili 24.6% dari keseluruhan populasi Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Kadar kesuburan orang Melayu lebih tinggi dari Cina dan India.

Ketika PRU 2013, Kerajaan yang memerintah Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi 13% undi kaum Cina. Dua hari selepas pilihanraya, Utusan Malaysia, lidah UMNO, bertanya “Apa lagi Cina Mahu?”

Soalan itu memang berbentuk provokasi, tetapi ianya tidaklah tidak masuk akal langsung. Perdana Menteri Najib Razak berusaha keras untuk memenangi hati pengundi Cina tetapi hampir tidak mendapat apa-apa. MCA hanya menang 7 kerusi. Gerakan langsung tidak dapat apa-apa.

DAP menang 38 kerusi, paling banyak dalam kalangan parti pembangkang.

PERUBAHAN KE ARAH SISTEM BARU?

Parti Cina di dalam BN jelas telah hilang kepercayaan pengundi Cina. Bolehkah MCA memenangi kembali undi cina? Tidak dapat dipastikan. MCA jelas tiada kuasa untuk menghalang ruang politik dan sosial yang semakin sempit untuk bukan muslim; hasil dari skandal pemimpinnya dan pergaduhan dalaman.

Pada tahun 2013, BN hilang undi popular tetapi mengekalkan majoriti di Parlimen disebabkan 47 kerusi yang dimenangi di Sabah dan Sarawak. Penduduk asal Malaysia Timur bukanlah beretnik Melayu tetapi dikelaskan sebagai bumiputera. Malah ada di dalam UMNO mula mempersoalkan keperluan untuk bekerjasama dengan kaum Cina. Jumlah penduduk Cina yang semakin berkurangan akan menyebabkan mereka tidak lagi relevan untuk diambil kira di dalam pilihanraya akan datang kerana UMNO dan BN sudah pun membuktikan mereka mampu mengekalkan kuasa tanpa orang Cina.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, DAP, dan parti Anwar Ibrahim PKR juga tidak mampu untuk membentuk satu sistem yang berbilang kaum. PR akan sentiasa bergelora dan tidak stabil. Walaupun parti komponennya secara asasnya adalah berbilang kaum, mereka tiada langsung persamaan melainkan satu cita-cita yang sama iaitu ingin menumbangkan BN. Hanya personaliti Anwar dan skill politiknya yang berjaya menyatukan parti-parti ini.

Anwar sekarang di dalam penjara dan PR tumbang. PAS telah meninggalkan PR. Tanpa Anwar, masa depan Keadilan suram. DAP pula tertakluk kepada populasi dan demografi pengundi Cina yang semakin menurun dan tidak akan mungkin untuk maju lebih jauh dari kekuatan mereka buat masa sekarang, walaupun mereka kemungkinan akan mengekalkan kawasan yang dipegang sekarang. Pengganti PR – Pakatan Harapan – gabungan DAP, PKR dan serpihan PAS, Amanah hanyalah satu harapan yang tidak dapat dibuktikan realitinya lagi.

PAS telah menyingkirkan golongan progresif di dalam partinya dan kini dikuasai ulama. UMNO kini semakin bergantung kepada agama untuk kekal relevan. UMNO dan PAS tidak mustahil akan membentuk satu pakatan yang mungkin akan menjadi teras sistem pemerintahan yang baru. Mungkin akan terdapat sagu hati kepada kaum lain, tetapi sistem itu nanti akan merangkumi satu kerajaan Melayu yang sangat dominan berdepan dengan pembangkang Cina yang diketuai oleh DAP. Sangat menarik untuk disaksikan.

Saya tak pasti sama ada sistem ini akan betul-betul terbentuk dan menggantikan sistem sedia ada tetapi nampaknya ianya tidak mustahil dan boleh terjadi. Ia tidak akan berlaku sekarang. Tetapi kontroversi yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin akan mempercepatkan kemunculannya. Demonstrasi yang terjadi baru-baru ini seolah-seolah menjadi petunjuk kepada perkara ini.

PERGELUTAN KUASA DI DALAM UMNO.

Demonstrasi anti kerajaan oleh BERSIH yang diadakan pada penghujung Ogos lalu, walaupun terdapat kehadiran kaum lain, adalah satu cara yang dikuasai oleh kaum Cina. PAS, yang menyertainya sebelum ini, tidak muncul pada Bersih kali ini. Pihak penganjur berkata demonstrasi itu tidak bersifat politik, tetapi jelas DAP dan PKR memainkan peranan yang penting.

Bulan lepas, satu demonstrasi anti Bersih telah diadakan oleh Pesaka – satu pertubuhan Melayu berhaluan kanan yang mengamalkan silat. Demonstrasi ini dikuasai sepenuhnya orang Melayu, yang mengambil posisi memperjuangkan hak Melayu yang penuh dengan retorik perkauman. Sebelum demonstrasi, poster yang terpapar “Cina Turun Bersih, Sedialah Bermandi Darah” dipaparkan, lengkap dengan gambar seorang penyokong Bersih dilibas dengan parang. Kertas dengan dengan slogan yang sama juga dijumpai di ibu pejabat DAP.

UMNO menafikan yang ia menganjurkan demonstrasi itu. Datuk Seri Najib tidak menghadirinya tetapi tidak menghalang ahli UMNO yang ingin berbuat demikian. Presiden Pesaka adalah pemimpin UMNO. Seorang lagi ahli politik UMNO, yang menjadi salah seorang tulang belakang demonstrasi ini, dengan bangga mengaku beliau rasis kerana ianya berada di dalam perlembagaan.
Syukur, tiada keganasan yang dirakamkan kerana kehadiran polis yang ramai. Tetapi ianya pasti meningkatkan ketegangan dalam situasi yang sedang panas di Malaysia.

Walaupun pihak berkuasa menafikannya, kejadian yang berlaku di Plaza Low Yatt, satu pusat membeli belah yang dikuasai Cina di Kuala Lumpur apabila seorang remaja Melayu mencuri telefon bimbit, adalah bersifat perkauman. Ia mendedahkan apa yang selama ini tersembunyi di Malaysia.

Tidak lama selepas itu, berita mula tersebar mengenai US$700 juta (S$1 bilion) yang dipercayai dari 1MDB yang dikatakan masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Seorang jurucakap Putrajaya menyebut: “Perdana Menteri tidak mengambil sebarang dana untuk kegunaan peribadi.”

UMNO sentiasa beroperasi di dalam sistem yang saling menyokong antara satu sama lain. Kalau ini klu yang diberikan oleh jurucakap Putrajaya tersebut, bermakna tuduhan Dr Mahathir ke atas Najib tidak bermakna apa-apa. Bukankah beliau berada di dalam satu sistem yang sama, lebih lama dari perdana-perdana menteri lain?

Ini juga bermakna Najib tidak berada di dalam bahaya disingkirkan dari jawatan selagi beliau mempunyai sokongan dari majoriti bahagian UMNO dan mengekalkan sokongan Melayu. Mungkin terdapat kekecewaan melihatkan Dr Mahathir turun menghadiri perhimpunan Bersih tetapi saya tak fikir itu meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap beliau.

Skandal 1MDB bukan berkisarkan rasuah sangat, ianya lebih mengenai perebutan kuasa di dalam UMNO.

Dr Mahathir sememangnya telah dijangka akan menggunakan pengaruh beliau secara tersembunyi biarpun beliau tidak lagi berkuasa. Antara yang menjadi ketidakpuasan hati beliau adalah hubungan mesra penggantinya dengan Singapura, keputusan Najib untuk menyelesaikan hal tanah KTMB, kerjasama di dalam Iskandar Malaysia (IM) dan keengganan Abdullah Ahmad Badawi dan Najib untuk meneruskan projek impiannya, Jambatan Bengkok. Dr Mahathir ingin menggantikan Najib dengan seseorang yang lebih patuh.

Pergelutan kuasa di dalam UMNO ini tidak berakhir. Najib kekal berkuasa tetapi imej politiknya terjejas. Reputasi Mahathir mungkin terjejas tetapi beliau masih ramai pengikut dalam kalangan penyokong UMNO dan masyarakat Melayu.

Najib tidak boleh membiarkan diri beliau tersepit. Dua hari selepas perhimpunan Baju Merah, beliau menghadiri perhimpunan Pesaka. Beliau memuji ahli Pesaka kerana berani mati untuk kerajaan dan berkata, “orang Melayu mampu bangkit apabila maruah kita dicabar, apabila pemimpin kita dihina dan dimalukan. Kita hormat bangsa lain. Tapi jangan lupa: Orang Melayu juga ada perasaan, ada hadnya.”

APA SETERUSNYA?

Bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin, telah berkata, “Jika Najib berjaya menyatukan UMNO dan PAS, saya yakin orang Melayu akan memaafkan dosa-dosa beliau”, menambah “selepas melaksanakan tugas yang besar dan murni ini” beliau mesti meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin.

Saya tak pasti sama ada Najib sedar yang beliau telah melakukan ‘dosa besar’ tetapi beliau semestinya tidak akan menyerahkan kuasa kepada orang yang beliau pecat. Tetapi, Zainuddin tidak salah apabila berkata sesiapa yang berjaya menyatukan UMNO dan PAS akan dianggap sebagai hero Melayu. Mungkin bukan Najib orangnya, tetapi petunjuk ke arah penyatuan itu semakin jelas.

Malaysia dan Singapura adalah rakan niaga kedua terbesar untuk masing-masing. Malaysia adalah destinasi pelaburan keenam terbesar Singapura dan kita adalah pelabur terbesar di IM. Setiap hari puluhan ribu rakyat Malaysia menyeberang Tambak untuk bekerja di Singapura. Adalah menjadi kepentingan kita untuk melihat Malaysia stabil dengan ekonomi yang sihat.

Najib faham yang Malaysia dan Singapura memerlukan antara satu sama lain. Dan kita sentiasa sahaja terpalit dengan kontroversi dengan mereka. Dr Mahathir sendiri seringkali berkata yang Melayu Singapura sentiasa terpinggir. Tetapi ianya berlalu begitu sahaja. Adakah sebab kerajaan mengurangkan risikonya? Tidak dapat dipastikan tetapi jika benar, ianya satu lagi titik hitam bagi Najib di dalam buku Mahathir.

Kita, semestinya tiada pilihan melainkan untuk bekerjasama dengan apa sahaja sistem dan pemimpin yang muncul di Malaysia. Tetapi akan ada sistem yang lebih memudahkan berbanding sistem lain. Dan dengan situasi sekarang, kita tidak boleh menganggap peralihan sistem tersebut akan berjalan dengan aman.

Anggapan saya, ramai anak muda Cina di Malaysia telah terlupa mengenai pengajaran peristiwa 13 Mei 1969. Mereka, dengan naif, percaya yang sistem yang diwujudkan berasaskan ketuanan Melayu boleh diubah dengan mudah. Itulah sebabnya mereka meninggalkan MCA untuk DAP. Mereka delusional. Ketuanan Melayu akan terus dipertahankan dengan apa jua cara.

Sistem yang baru akan dibina berasaskan prinsip ini, dan jika ianya mempunyai elemen penyatuan UMNO-PAS, penguatkuasaan prinsip di bawah akan menjadi lebih tegas dan ruang untuk bukan muslim akan semakin berkurangan.

Penyajak dan penulis ternama Pak Samad baru-baru ini memberikan amaran “melihat bagaimana isu perkauman dimainkan, tidak mustahil darurat akan tercetus”.

Pak Samad adalah ahli DAP dan beliau telah merayu kepada kerajaan untuk bersikap lebih adil kepada setiap kaum. Tetapi pandangan beliau dan sesetengah golongan muda Melayu urban, walaupun menarik, menjadi tidak relevan melihatkan kepada situasi pergelutan kuasa di dalam UMNO dan slogan Ketuanan Melayu yang dijulang tinggi.

Rakyat Singapura juga perlu mengambil perhatian yang tiada politik domestik negara boleh wujud dalam vakum geopolitik.

KENYATAAN DUTA CHINA.

Dalam kekalutan semua ini, Duta Besar China ke Malaysia telah pergi ke Petaling Street. Hanya beberapa hari sebelum itu, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan peserta perhimpunan baju merah. Duta tersebut kemudiannya membacakan, antaranya, bantahan kerajaan China terhadap penggunaan keganasan, sebarang bentuk ekstrimisme dan diskriminasi, dan menambah, adalah memalukan sekiranya keamanan Petaling Street diancam oleh mereka yang berniat jahat dan Beijing tidak akan berdiam diri jika terdapat apa-apa yang mengancam kepentingan atau rakyatnya dan hubungan Malaysia-China.

Di dalam situasi lain, perkara ini mungkin tidak akan diambil berat. Tetapi masa dan konteks kenyataan duta tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran.

Adakah ianya penilaian yang salah? Apa yang cuba dilakukan? Jika duta berkenaan ingin menolong kaum Cina, beliau gagal. Beliau kemungkinan menjadikan keadaan lebih teruk dengan mengesahkan syak wasangka orang melayu.

Tetapi adakah kepentingan orang Cina Malaysia diambil berat? Adakah ianya dibuat untuk menyembunyikan kebangkitan China? Jurucakap Kementerian Luar China telah mempertahankan kehadiran duta tersebut dan menyifatkannya sebagai normal dan menekankan prinsip China untuk tidak masuk campur. Tetapi ini hanyalah satu formaliti tanpa mengira niat sebenar China.

Sama ada duta tersebut akan dipanggil untuk menjelaskan tindakan beliau juga mengelirukan. Ini sepatutnya dilakukan. Seorang diplomat Malaysia yang sudah bersara yang kerap berurusan dengan China menjelaskan, akan terjadi satu peristiwa kali pertama yang berbahaya jika tiada tindakan dibuat. Tetapi menteri-menteri telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah yang memaksa Menteri Luar Anifah Aman memberitahu mereka supaya menyerahkannya kepada Wisma Putra.

Adakah ini kesan pengaruh China? Mungkin. Akhirnya, terdapat satu pertemuan dengan Wisma Putra. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akhirnya mengumumkan Kabinet Malaysia akan memanggil duta tersebut.

PENGAJARAN UNTUK SINGAPURA

Kita tidak boleh selesaikan masalah orang lain. Rakyat Malaysia mesti menerima takdir mereka dan kita mesti menerima pilihan mereka.

Adakah kita betul-betul imun terhadap perkara ini? Selepas 50 tahun, adakah identiti Singapura kita telah berjaya menutup identiti? Mungkin, di bawah beberapa situasi. Secara optimistiknya, mungkin di dalam kebanyakkan situasi. Tetapi di bawah semua situasi?

Saya raguinya. Mari kita berdoa supaya Malaysia terus aman dan sebarang perkara buruk tidak terjadi.

Tetapi tidak pula menjadi kesalahan untuk kita tidak membiarkannya dan menyediakan diri jika perlu. Langkah pertama bagi kita rakyat Singapura untuk memahami apa yang terjadi ni negara jiran dan menghargai apa yang kita ada di Singapura.

Diplomasi dan hukuman adalah perlu untuk mengurangkan risiko keinginan yang ada pada sesetengah di Malaysia akan mengambil jalan untuk mendedahkan masalah mereka dan mengurangkan ketegangan hubungan dua hala yang kadang kala tidak dapat dielakkan. Hukuman yang berat diplomasi yang cekap mestilah disokong oleh kekuatan negara yang akhirnya menjadi asas untuk persefahaman bersama.

Sejak akhir-akhir ini menjadi ikutan pula oleh beberapa seksyen di dalam risikan kita untuk tidak menghiraukan ancaman. Beberapa parti politik telah membangkitkannya ketika pilihanraya kita baru-baru ini. Adakah mereka pekak dan buta terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita? Adakah kerana kehendak mereka untuk memperolehi kelebihan politik begitu mendesak sehingga mereka berfikir yang mereka tidak akan menanggung kesannya nanti? Malaysia bukan satu-satunya kebimbangan kita. Jerebu adalah peringatan yang segalanya tidaklah sentiasa baik di sini.

Ini bukan kejiranan yang paling baik.

Oleh Bilahari Kausikan,
Duta Besar Singapura dan Penasihat Dasar di Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA), Singapura.
http://www.straitstimes.com/opinion/singapore-is-not-an-island