Komen mengenai TPPA daripada Dato Seri Wahid Omar

Satu komen mengenai TPPA daripada Dato Seri Wahid Omar.
——
Salam Maal Hijrah 1437 rakan-rakan. Ramai yang membuat komen tentang TPPA sehingga ada yang menuduh Menteri-menteri termasuk saya & Tok Pa ‘menjual’ negara. Ini satu tuduhan yang amat menghiris hati kami. Kita tiada agenda lain selain mahu yang terbaik untuk negara & rakyatnya.

Saya percaya Tok Pa & pasukan di MITI telah berusaha dengan gigih mendapatkan ‘outcome’ yang boleh kita terima. Memang lumrah dunia apabila sesuatu perjanjian itu dirundingkan, pihak negara masing-masing mahu yang terbaik untuk mereka sahaja.

Tetapi melalui proses rundingan, kita akan mencapai sesuatu persetujuan yang secara keseluruhannya mendatangkan manfaat bersama (mutual benefit). TPPA yang telah dimuktamadkan (concluded) di Atlanta pada 5 Oktober 2015 lalu telah banyak berubah dari kedudukan asal negara-negara seperti US. Ini termasuk pengiktirafan dasar inklusif Bumiputera, perolehan Kerajaan, Investor State Dispute Settlement, intellectual properties, dan sebagainya.

Perjanjian TPPA ini sedang melalui proses ‘legal scrubbing’ sebelum ia didedahkan kepada umum. Pihak PWC yang sedang menyediakan dokumen kajian kos & manfaat telah dimaklumkan tentang kedudukan terma terkini dan akan menyiapkan laporan mereka tidak lama lagi.

Semuanya akan dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan. Elok kita tunggu fakta-fakta yang akan dikemukakan kelak. Sementara itu, rakan-rakan boleh merujuk kepada pendapat terkini Paul Krugman yang lebih positif terhadap TPPA setelah beberapa penambahbaikan dibuat berkenaan ISDS, harta intelek, dan lain-lain. krugman.blogs.nytimes.com/2015/10/06/tpp-take-two/

Saya juga akan ditemuduga tentang isu-isu ekonomi terkini oleh Gan Ai Leng & Izwan Azir Saleh dalam program TV3 Soal Jawab 11pm malam ini di mana isu TPPA & tol akan turut disentuh.

Sempena tahun baru Hijrah ini, marilah kita sama-sama membuka lembaran baru & memperbaiki diri masing-masing. Tingkatkan sikap membina & hentikan penyebaran fitnah. Janganlah mudah ‘forward’ sesuatu yang kita terima tanpa menentukan kesahihannya & bertanya sama ada maklumat itu akan mendatangkan manfaat kepada penerimanya.

Semoga Allah SWT memberikan kita semua hidayah serta melindungi & memberkati kita, keluarga & negara tercinta. Terima kasih.

AWO. 14.10.15 .