Lawatan Duta Besar China Ke Petaling Street Tiada Unsur Provokasi China-Malaysia

Duta Besar China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang membidas sesetengah pihak yang memperalatkan isu beliau melawat Jalan Petaling untuk mencapai tujuan menentang kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, lawatannya ke Jalan Petaling adalah ikhlas dan tidak harus dihebohkan sebagai usaha menentang kerajaan.

“Saya menyokong dan menghormati kerajaan Malaysia sepenuhnya.

“Selepas anda memperhalusi apa yang sedang berlaku, tiada seorang pun yang berfikiran waras akan mendakwa Duta Besar China campur tangan dalam politik Malaysia.

“Lawatan saya ke Jalan Petaling telah diputar belit dan disalah tafsir,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Jelasnya, lawatan beliau ke Jalan Petaling sempena dengan Festival Kuih Bulan tidak lain untuk bergaul dengan masyarakat Malaysia selain melihat tahap keselamatan Jalan Petaling.

Katanya, tinjauan di Jalan Petaling juga akan menentukan sama ada China perlu mengeluarkan amaran pelancongan kepada rakyatnya yang berniat melawat destinasi pelancongan tersebut.

Huikang bagaimanapun tidak menyesal dengan pilihannya untuk melawat Jalan Petaling pada Jumaat lalu.

“Adakah saya menyebut Malaysia dalam percakapan? Tidak. Adakah saya menyebut Cina Malaysia? Adakah saya menyebut Jalan Petaling?

“Percakapan saya adalah biasa sahaja dan menyebut tentang pendirian umum kerajaan China. Saya boleh katakan percakapan ini dihujahkan kerajaan China sejak 66 tahun lalu.

“Saya mahu tanya kepada sahabat kita di Malaysia, adalah percakapan seperti ini bersalah?” katanya.

Tegasnya, lawatan beliau ke Jalan Petaling tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana perhimpunan yang dijalankan di Malaysia tetapi mempunyai hubung kait dengan Festival Kuih Bulan.

“Saya pergi ke sana untuk mengagihkan kuih bulan. Tahu tak anda bahawa saya membawa dua jenis kuih bulan? Salah satu jenisnya ialah kuih bulan halal yang diagihkan kepada rakan Melayu,” katanya.

Ujar Huikang lagi, semasa berkunjung ke Jalan Petaling, beliau mengenakan baju batik dan membawa isterinya bersama.

“Ini menunjukkan program saya adalah secara bersantai dan saya melawat dengan hati yang ikhas.

“Saya tidak boleh membatalkan lawatan hanya kerana ada perhimpunan di situ pada keesokan harinya,” katanya.

Ketika melawat Jalan Petaling pada Jumaat lalu, Huikang dipetik berkata, kerajaan China menentang keganasan dan sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum serta sebarang bentuk ekstremisme.