Najib Razak gesa kerajaan Israel agar mendukung prinsip tertinggi Judaisme dan mesej penting dalam kitab Taurat.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk kezaliman Tel Aviv di wilayah yang diduduki oleh mereka dan menggesa supaya penyelesaian muktamad dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri turut menyentuh ancaman kumpulan militan yang dikenali IS, yang tidak tahu ajaran Islam yang sebenar serta pengalaman sendiri Malaysia dalam membendung ekstremisme militan.

Berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Khamis, beliau berkata keberanian diperlukan untuk menangani secara berkekalan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin yang menderita sejak 1948.

“Berdekad-dekad bebas tanpa hukuman dan penyahmanusiaan secara sistematik terhadap penduduk Palestin telah mendorong kepada peningkatan keganasan, memperluas penempatan haram dan peningkatan pencabulan hak asasi.

“Kekecewaan dan kemarahan dirasai rakyat Palestin turut dirasai umat Islam di seluruh dunia. Jika dunia terus tidak ambil peduli terhadap penderitaan rakyat Palestin, kita berisiko berdepan dengan satu lagi malapetaka di wilayah diduduki rakyat Palestin.

“Kita gagal mendukung hak untuk menentukan nasib sendiri, yang menjadi asas Pertubuhan Bangsa Bersatu semasa diwujudkan 70 tahun lepas,” kata Najib.

Dalam hal ini, memandangkan tindakan Rosh Hashanah mencerobohi Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan serangan terhadap jemaah masjid itu tiga minggu lepas, beliau menggesa kerajaan Israel agar mendukung prinsip tertinggi Judaisme dan mesej penting dalam kitab Taurat.

Najib berkata Israel menggunakan kuasanya secara paksa untuk menguasai tempat ketiga paling suci dalam Islam – sebagai bantahan terhadap bidang kuasa Raja Abdullah dari Jordan, sebagai penjaga sah.

“Oleh itu menjadi kewajipan Israel untuk memudahkan umat Islam dari seluruh dunia menziarahi tempat tersebut. Ini merupakan impian dan doa setiap umat Islam untuk mengunjunginya sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka,” katanya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran antara jemaah Palestin dan tentera Israel dilaporkan berlaku setiap hari di Majid Al-Aqsa.

Rabu lepas, untuk pertama kali dalam sejarah, bendera Palestin dinaikkan di ibu pejabat PBB selepas pihak berkuasa Palestin memperoleh status pemerhati bukan anggota badan dunia itu pada 2012.

Mengenai IS, Najib berkata Malaysia menanggap masalah militan dengan cukup serius dengan kedua-dua pengikut yang berhasrat menggunakan Kuala Lumpur sebagai tempat transit dan mereka yang mahu menyemai benih keganasan dan kemusnahan di tanah air.

“Banyak daripada usaha ini tidak boleh didedahkan atas faktor keselamatan. Ini mungkin mendorong sesetengah pihak fikir bahawa oleh kerana Malaysia tidak menanggung akibat teruk daripada kejayaan serangan pengganas, kita tidak berdepan cabaran keselamatan negara.

“Ia tidak begitu. Usaha tanpa lelah dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan, kami berjaya menyekat banyak bakal pengikut IS menggunakan Kuala Lumpur sebagai pusat transit.

“Ini disebabkan usaha kami tidak sia-sia, tidak seperti kemusnahan yang berlaku di Syria dan Iraq. Kami telah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia yang telah pergi untuk menyertai IS dan kami telah menahan lebih 100 warganegara kami yang disyaki ada kaitan dengan IS,” kata perdana menteri.

“Kita perlu berusaha lebih keras secara bersama untuk memerangi ancaman ini. Angkatan tentera dan perkhidmatan risikan perlu berkongsi maklumat dan negara-negara perlu meningkat kerjasama dengan berani melakukan tangkapan lebih awal jika perlu,” katanya.

Najib berkata dunia mesti memerangi IS dan ideologi sesat dan dari segi teologi tidak masuk akal serta mempersendakan Islam yang “menuntut kita supaya lebih berpengetahuan, penyayang dan merendah diri.”

“Ia lebih penting daripada sebelumnya supaya kita menyebarkan kesedaran Islam yang tulen. Islam tanpa ragu-ragu melarang pembunuhan orang awam semasa perang. Ia jelas melindungi golongan minoriti dan menghormati mereka daripada agama lain. Ia menggesa umatnya mengejar ilmu dan menekankan kepada keadilan dan belas kasihan,” katanya.

Beliau berkata tidak sepatutnya ada persengketaan sesama Islam dan tidak antara puak Syiah dan Sunni yang mungkin menganuti fahaman berbeza tetapi mencari hala tuju yang sama.

“Kerajaan Malaysia telah membantu membangunkan sebuah badan biasiswa yang penting. Sebuah kumpulan cendekiawan Sunni dan Syiah yang mewakili pelbagai sektor komuniti Islam global telah berhimpun di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata misi kumpulan tersebut adalah untuk mendefinisikan Negara Islam berdasarkan kesinambungan agama Islam sejak 14 abad lepas dan ia tiada persamaan dengan entiti di Syria dan Iraq yang menyalahgunakan nama tersebut.

“Para cendekiawan sebulat suara menekankan bahawa Negara Islam perlu memberikan keadilan dalam semua bentuk – politik, ekonomi dan perundangan terhadap warganegaranya. Ia perlu berasaskan kepada objektif Syariah atau Maqasid Syariah iaitu untuk melindungi dan meningkatkan kehidupan, agama, intelek, harta benda, keluarga dan maruah,” katanya.

Najib berkata kumpulan yang dikenali IS tidak tahu ajaran Islam yang sebenar, sifat penyayang atau tanggungjawab asas untuk menjaga dan ambil tahu tentang sesama manusia.

“Mereka melanggar perintah Tuhan. Mereka mencemarkan nama agama kita dengan mengakui diri mereka sebagai kalifah – yang tiada orang Islam sebenar akan membuat pengakuan itu.

“Inilah mesej yang kita mesti sebarkan kepada umat Islam dan bukan Islam. Saya menggesa ummah untuk bangkit sebagai satu suara, dan biar dunia bergema apabila kita berkata kepada IS: “Anda tidak mewakili kami,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh audien.