Netizen Perlu Bayar Cukai Tambahan 13bilion, Setiausaha Agung PKR Gagal Kemuka Bukti Terperinci

Dakwaan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bahawa orang ramai perlu membayar cukai tambahan sebanyak RM13 bilion pada tahun depan, tidak dapat disahkan hanya berdasarkan butiran diberikan Setiausaha Agung PKR itu.

Pensyarah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef memberitahu The Rakyat Post, ada maklumat tersembunyi dalam butiran itu dan beliau mendapati wujud kekurangan maklumat dalam butiran tersebut.

Terdahulu, ketika bercakap di Dewan Rakyat pada Isnin, Rafizi mendakwa cukai itu akan dikutip melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), duti eksais, cukai individu dan korporat.

Beliau turut membuat perbandingan antara GST dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dengan mendakwa kerajaan dapat mengutip GST sebanyak RM19 daripada setiap isi rumah setiap hari, manakala pembayaran BR1M hanya meningkat sebanyak 14 sen sehari.

Mohamed Aslam berkata, kenyataan Rafizi itu dibuat tanpa memberikan maklumat terperinci.

“Saya akan mengulas kesan-kesan buruk itu, jika ia benar dan dibuat berdasarkan fakta lengkap serta dimasukkan pengiraan lebih terperinci.

“Namun, ketika ini, adalah sukar untuk mengesahkannya, kerana jumlah yang diberikan itu sangat ringkas,” katanya.

Tambahnya, untuk mengatakan kerajaan akan menaikkan cukai atau menghukum rakyat pada tahun depan, tidak boleh dibuktikan daripada kenyataan Rafizi itu.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/27/pengiraan-rafizi-tidak-terperinci-profesor-ekonomi/