Pak Lah Jatuh Adalah Disebabkan Cawangan Khas Menyokong Tun Mahathir Pada Tahun 2008

Selepas terlibat, secara langsung dan tidak langsung, di dalam politik selama 40 tahun semenjak tahun 1970an (lebih lama dari dari sesetengah anda yang hidup) dan selepas terlibat dengan beberapa perebutan kuasa dalaman, persoalan politik dan konspirasi semenjak tahun 1980an, saya boleh sahkan satu perkara. Dan satu perkara itu adalah politik bukanlah seperti yang anda fikir anda lihat.

Jadi, untuk memahami perkembangan politik semasa di Malaysia, anda mula-mula perlu memahami perkembangan politik Malaysia semenjak 50 tahun lepas. Sudah semestinya, kita pada hari ini telah diyakinkan yang isu hari ini hanya berkisar kepada 1MDB dan RM42 bilion yang telah lesap, seperti yang diberitahu oleh Tun Mahathir.

Jika itu sebab sebenarnya, dan jika ianya benar, maka hari ini sudah pasti saya akan berdiri bersama Tun Mahathir, seperti pada tahun 2006 apabila beliau mula membuka langkah untuk menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Sokongan saya kepada Tun Mahathir dari tahun 2006-2008 bukanlah rahsia. Semua orang tahu itu dan ramai orang yang begitu marah dengan saya (termasuklah Azmin Ali dan Anwar Ibrahim).

Saya menyokong Tun Mahathir menentang Pak Lah kerana kami ditunjukkan ‘bukti’ mengenai jenayah, salahlaku, dan rasuah yang melibatkan Pak Lah. Akhirnya Pak Lah berjaya disingkirkan dan digantikan dengan Najib Tun Razak. Walaubagaimanapun, adakah Pak Lah ditahan dan didakwa ke atas kesemua jenayah tersebut, seperti yang diberitahu beserta dengan bukti yang ditunjukkan kepada kita?

Selepas Pak Lah disingkirkan dan Najib mengambil alih, tiada apa yang berlaku. Adakah Pak Lah benar-benar bersalah? Atau adakah ini semua tipu helah untuk mendapatkan sokongan kita demi menyingkirkan Pak Lah? Jika beliau benar-benar bersalah dan bukti yang berkaitan dengan jenayah beliau betul-betul kukuh, sudah pasti beliau akan berkongsi sel penjara yang sama dengan Anwar Ibrahim pada hari ini.

Apabila sepuluh dari kami ditahan di bawah ISA pada tahun 2001, kami diberitahu usaha kami untuk menyingkirkan Perdana Menteri (Dr Mahathir) adalah sia-sia kerana Cawangan Khas yang akan menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Dan jika Perdana Menteri mula bertindak ‘lain macam’ maka Cawangan Khas yang akan singkirkan beliau walaupun ‘kereta kena masuk gaung’.

Semua dari kami diberitahu mengenai ini, malah Saari Sungib menulis beberapa siri buku mengenai hal ini jika anda tidak menyedari mengenainya.

Ketika penahanan kedua saya melalui ISA pada tahun 2008, Cawangan Khas memberitahu saya, saya telah salah menuduh yang Najib terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Saya juga salah di dalam akuan bersumpah yang saya tandatangani pada Jun 2008 berkenaan kehadiran Rosmah Mansor di kawasan Altantuya di bunuh.

Cawangan Khas kemudiannya menunjukkan bukti untuk membuktikan yang saya telah salah. Pada malam Altantuya dibunuh, Rosmah sedang berada di satu majlis di Kompleks Tabung Haji dan ada gambar untuk membuktikannya. Bacaan odometer kereta (yang dicatat apabila kereta keluar dari rumah dan kembali ke rumah) dan laporan pondok keselamatan (yang menunjukkan waktu keluar dan kembali kereta ke rumah) juga membuktikannya.

Saya begitu terkejut.

“Anda telah diberikan maklumat yang salah,” Cawangan Khas memberitahu saya. “Jika Najib benar-benar bersalah kerana membunuh Altantuya, anda fikir kami akan membenarkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri?” mereka menambah. Dan itu membuatkan saya teringat pada tahun 2001, di mana kami diberitahu yang tiada siapa boleh menjadi Perdana Menteri kecuali dengan kebenaran Cawangan Khas.

Hari ini, Cawangan Khas (atau sebenarnya salah seorang bekas bos Cawangan Khas) berkata Najib sememangnya bersalah. Jika mereka mempunyai bukti untuk membersihkan Najib dari tuduhan, seperti yang pernah ditunjukkan kepada saya, mengapa mereka menyembunyikannya?

Seorang bekas pegawai kanan Cawangan Khas telah mencabar mantan Peguam Negara untuk memberitahu kebenaran mengenai Najib. Ok, sekarang saya ingin mencabar 2 orang ini untuk menunjukkan bukti yang mereka pernah tunjukkan kepada saya. Adakah mereka menipu saya pada tahun 2008 atau mereka menipu kepada negara pada tahun ini? Sama ada mereka tipu pada tahun 2008 atau pada hari ini. Yang mana satu?

Mereka ini memberitahu saya yang Pak Lah jatuh adalah disebabkan Cawangan Khas menyokong Tun Mahathir pada tahun 2008. Dan sekarang mereka mendakwa mereka menyokong Mahathir dan menentang Najib. Maka, adakah semua ini, disebabkan oleh 1MDB atau objektif sebenarnya adalah untuk membantu Tun Mahathir menyingkirkan Najib.

Nampak, semua ini hanyalah satu permainan kuasa yang besar. Kita telah digunakan banyak kali dulu di dalam permainan kuasa ini. Kita diberitahu satu perkara, ditunjukkan sesetengah bukti untuk mengesahkan sokongan kita yang kemudiannya didapati hanyalah ‘udang disebalik batu’. Maka kali ini saya tidak menyertai atau menyokong mana-mana gerakan anti Najib.

Saya tahu ini bukan tindakan yang popular. Tapi tiada pula yang memberitahu ini adalah peperangan populariti jadi adakah ianya penting? Hanya masa akan menentukan apakah isu yang sebenarnya jika ianya bukan berkisarkan 1MDB. Dan selepas 40 tahun pengalaman, saya dengan yakin mengatakan ianya bukan mengenai 1MDB tetapi siapa sebenarnya yang patut menjadi harimau di puncak gunung dan 2 ekor harimau itu sedang berlawan antara satu sama lain untuk hak berada di puncak gunung ini.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/are-you-sure-this-is-about-1mdb/