PDRM Dapat Kebenaran Untuk Jumpa Pencuri Maklumat 1MDB

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand bagi merekodkan keterangan Xavier Andre Justo berkaitan siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Polis Thailand pada minggu lepas untuk menemui bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (Petrosaudi) itu.

“Kita sedang buat perbincangan dengan pihak Thailand sekarang ini bagi ketetapan tarikh temu bual. Kita akan hantar pegawai secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia keempat 2015 di sini, Rabu.

Justo, 49, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 17 Ogos lepas kerana memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi.

Dia ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui di selatan Thailand pada 22 Jun lepas selepas pegawai PetroSaudi membuat aduan bahawa lelaki itu cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen yang dicuri daripada syarikat berkenaan.

Kes Justo menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin antara PetroSaudi dan 1MDB.