Pembangkang Pegang Negeri Pun Tak Mampu Hapus Tol, Inikan Mahu Hapus GST & Semua Tol Di Malaysia

Pengumuman Pakatan Harapan (PH) yang mahu menghapuskan tol Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pertama Pulau Pinang sekiranya memerintah negara adalah langkah populis semata-mata yang hanya mahu menjanjikan ‘bulan bintang’ kepada rakyat.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata hasrat yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu bukan sahaja populis malah ia juga tidak realistik apabila mencadangkan sumber alternatif untuk membiayai penyelenggaraan lebuhraya itu datang dari cukai jalan.

Tegas Zuhdi, cadangan itu disifatkan sebagai populis adalah kerana kerajaan Pulau Pinang sehingga hari ini tidak mampu untuk menghapuskan tol atau mengurangkan kadar tol yang ada di negeri tersebut.

“Walaupun PH boleh memberi alasan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa terhadap konsesi lebuhraya, jika mereka benar-benar ingin meringankan beban rakyat Pulau Pinang banyak ikhtiar yang boleh diambil.

“Sebagai contoh mengeluarkan sejumlah peruntukkan tertentu dalam bajet tahunan untuk membantu rakyat Pulau Pinang yang terpaksa membayar tol setiap hari untuk pergi bekerja.

“Cadangan supaya sumber alternatif untuk menyelenggara lebuh raya diambil dari cukai jalan bukan sahaja tidak realistik, tetapi juga tidak adil kepada rakyat khususnya golongan bawahan yang tidak atau jarang menggunakan lebuhraya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu lagi, terdapat tiga negeri di Malaysia iaitu Kelantan, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai lebuh raya tetapi mereka perlu membayar cukai jalan yang kemudiannya digunakan untuk menyelenggara lebuhraya.

Jelasnya, dengan kos penyelenggaraan lebuhraya yang tinggi, sekiranya hasil daripada cukai jalan tidak mencukupi adakah ia bermaksud kadar cukai jalan nanti perlu dinaikkan.

Ujarnya, selain daripada itu, lebuhraya-lebuhraya di Malaysia semakin kerap digunakan oleh warga asing yang membawa kenderaan peribadi mereka memasuki negara ini.

“Sekiranya langkah dilakukan PH kelak, adakah ia bermaksud warga asing boleh menggunakan kemudahan kelas pertama negara ini dengan percuma sedangkan rakyat bawahan yang tidak pernah menggunakan kemudahan ini terpaksa membiayai penyelenggaraannya melalui cukai jalan yang dikenakan ke atas mereka.

“PPP melihat hasrat ini bukan langkah yang terbaik kerana bukan sahaja tidak adil kepada pembayar cukai jalan yang tidak menggunakannya malah akan menyebabkan pekerja-pekerja berkaitan lebuhraya boleh diberhentikan kerja secara beramai-ramai.

“Pendekatan Pas dalam isu kutipan tol ini bukan dibuat secara semborono, sebaliknya kita akan berunding dengan rakyat akar umbi melalui platform Kongres Rakyat agar penyelesaian menang-menang dapat dicapai,” tegasnya.

Sumber:http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/21/hapuskan-tol-hasrat-pakatan-harapan-hanya-janji-populis-mohd-zuhdi/