Pengumuman oleh Najib berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audien.

Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

“Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman,” katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Khamis.

Pengumuman oleh Najib berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audien.

Adalah dilaporkan sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syira telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan.

Najib berkata penyelesaian antarabangsa yang baharu diperlukan bagi menangani krisis migrasi.

Katanya “kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama” dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.

“Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan – dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

“Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik.

“Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh – tidak akan membiarkannya sahaja,” kata Najib.