PERKASA Dan PAS Wujud Hubungan Dua Hala Dalam Isu Kepentingan Rakyat

Pertemuan di antara kedua-dua pimpinan tertinggi Pas dan Perkasa hari ini bersetuju mewujudkan hubungan dua hala menerusi pejabat Setiausaha Agung Pas dan Perkasa dalam membabitkan isu kepentingan rakyat.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata Perkasa adalah badan bukan kerajaan (NGO) bukanlah parti politik seperti Pas.

“Kami adalah NGO bebas yang tulen, kerjasama kami adalah berdasarkan isu bukan kepada kerjasama tetap dalam bidang politik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Seramai 34 pemimpin tertinggi Perkasa hadir ke ibu pejabat Pas hari ini untuk pertemuan tertutup membincangkan beberapa isu utama yang terkini.

Dalam pada itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata terdapat tiga perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Perkasa hari ini.

“Kami menyambut baik titah Majlis Raja-Raja mengenai skandal syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pas dan Perkasa menjunjung titah Majlis Raja-Raja agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja mengenai isu 1MDB,” katanya.

Dua isu lain ialah, menggesa polis membebaskan peguam, Matthias Chang dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dituduh di bawah Sosma, serta meminta kerajaan menjelaskan mengenai isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Secara berseloroh Ibrahim ditanya pemberita, mungkinkah beliau akan kembali kepada Pas, beliau hanya membalas dengan gelak ketawa.

“Kerjasama dengan Umno pun sama berdasarkan isu, dalam perkara-perkara penting mengikut kepentingan negara, membabitkan Islam dan agenda Melayu,” katanya.