PKR Masih Berharap PAS Sertai Pakatan Harapan Yang Baru Ditubuhkan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih menagih ruang dan peluang agar PAS yang sebelum ini adalah sebahagian parti komponen Pakatan Rakyat akan menyertai Pakatan Harapan.

Pelbagai spekulasi yang berkisar sejak minggu lalu susulan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mendesak diadakan mesyuarat khas ekoran penubuhan tergesa-gesa Pakatan Harapan sebenarnya hanyalah sebahagian strategi industri perhubungan awam yang digunapakai dalam menggamit perhatian terhadap PKR.

Ini kerana Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam resolusi MPP PKR sekadar memaklumkan bahawa PAS akan terus ditawarkan untuk menyertai Pakatan Harapan malah tanpa disyaratkan tempoh tertentu kepada parti itu untuk membuat keputusan.

“Pada ketika ini mengajak semua parti politik termasuk PAS, PSM dan parti dari Sabah dan Sarawak untuk bersama dalam pemuafakatan yang baru ini.

“Tetapi kita harus pertimbangkan pandangan mereka dan ini adalah proses yang perlu kita lalui dan kita tak hadkan satu tempoh tertentu kerana ini proses membina muafakat,” kata Azmin dalam sidang media ringkas di Ibu Pejabat PKR di ibu negara, Ahad malam.

Menurutnya, proses memberi ruang dan masa kepada PAS itu adalah satu proses yang perlu dihormati oleh parti lain di dalam Pakatan Harapan bagi mengukuhkan kedudukan mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sebelum ini PAS dalam kenyataan menolak untuk menyertai Pakatan Harapan kerana tidak mahu bersama Parti Amanah Negara (PAN) yang disifatkan sebagai pengkhianat kepada PAS.

PAS juga sebelum ini terbabit perang strategi politik bersama DAP susulan tindakan parti itu memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada sidang media sama, Azmin turut menafikan bahawa PKR akan memecat Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli sambil menyifatkannya sebagai satu fitnah.

Sekaligus, menjelaskan bahawa pelbagai spekulasi dan laporan yang tersebar sebelum ini hanyalah taktik perhubungan awam yang digunakan ahli-ahli PKR sendiri untuk sentiasa menjadikan parti itu relevan dengan keadaan semasa.

Mereka sendiri sebarkan laporan tidak berasas untuk tarik perhatian ramai terhadap parti yang jelas semakin tidak relevan dengan perjuangan rakyat kerana terlalu asyik dengan masalah dalaman keluarga dan pemimpin.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh tak kata.