Presiden 1MDB Kecam Dakwaan Ahli Politik Yang Cuba Sensasikan Fitnah 1MDB

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda berkata beliau bersedia untuk menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawapan beliau menjadi sebahagian daripada rekod awam.

Beliau berkata tidak perlu bagi beliau untuk ‘berbohong atau menyembunyi’ apa yang telah berlaku pada masa lalu, seperti yang didakwa oleh mereka yang membuat dakwaan sensasi untuk agenda politik sendiri.

“Oleh itu, saya berharap untuk disoal secara terperinci mengenai perkara ini pada prosiding PAC akan datang dan jawapan saya menjadi sebahagian daripada rekod awam, bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan sebelum ini, prosiding PAC mengenai 1MDB telah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan. Tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ialah pada 4,5,6,17 Ogos dan 18 serta 8 dan 10 September 2015.

PAC kini hanya mempunyai sembilan anggota selepas empat yang lain termasuk pengerusi, telah dilantik menjadi anggota Kabinet pada 29 Julai.

Pelantikan pengerusi PAC dan anggotanya dijadual dibuat selepas anggota Jawatankuasa Pemilih, yang bertanggungjawab untuk melantik anggota PAC, digantikan dan dilantik semasa sesi parlimen akan datang yang bermula pada 19 Oktober 2015.

“Sebagai Presiden, saya menjawab kepada lembaga pengarah dan para pemegang saham 1MDB. Rekod prestasi saya yang baik membuktikannya dan hanya agenda profesional saya untuk menangani cabaran dalam 1MDB,” katanya lagi.