Ramai dalam kalangan orang Melayu beragama Islam mempertikaikan agama Islam tanpa pemahaman yang cukup

PAS menyifatkan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menerima ahlinya menyertai parti itu sebagai satu pengkhianatan.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika masing-masing menghormati hubungan dan kerjasama politik yang dibentuk menerusi Pakatan Rakyat (PR).

“Ini (PKR terima ahli PAS) satu pengkhianatan kepada PAS walaupun masuk PKR. Ia tidak sepatutnya menerima ahli PAS sebab kita masih berada dalam PR. Kami pun tak terima ahli PKR sebelum ini walaupun ramai yang nak sertai PAS tapi kita tak terima sebab nak menjaga hubungan baik (dalam PR).

“Untuk pengetahuan, PAS tidak pernah mengkhianati rakannya (dalam pakatan pembangkang) sejak dulu lagi sehingga sekarang,” katanya selepas mesyuarat EXCO di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut melahirkan rasa dukacita terhadap orang Islam yang menyaman kerajaan negeri berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang ingin dibentangkan di Parlimen.

“Ramai dalam kalangan orang Melayu beragama Islam mempertikaikan agama Islam tanpa pemahaman yang cukup.

“Ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi membabitkan orang Islam dan mereka tidak patut pertikai hukum dan peraturan agama,” katanya.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/10/02/pkr-khianat-pas-mohd-amar/