Tahukah Anda? Di Sebalik Laporan Salah Urus Dan Rasuah 1MDB, Mereka Tidak Pernah Dihubungi Mana-Mana Pihak Berkuasa Asing

Syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak dihubungi mana-mana penyiasat asing atas dakwaan salah urus dan rasuah, kata Presidennya, Arul Kanda Kandasamy, pada Selasa.

Syarikat milik Kementerian Kewangan yang mana Lembaga Penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mempunyai hutang lebih US$11 bilion dan beberapa pihak berkuasa asing dilapor memulakan siasatan mengenai dana itu atau kakitangannya.

Najib juga berdepan tekanan politik, selepas pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat 1MDB mendapati, sekitar US$670 juta telah dipindahkan ke akaun peribadinya.

Arul Kanda berulang kali menegaskan, tiada dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun milik Najib dan berkata, laporan media mendakwa wujud salah laku itu bermotif untuk menjatuhkan Najib.

Pihak berkuasa Switzerland pada akhir Ogos lalu telah membuka siasatan jenayah terhadap dua eksekutif 1MDB, atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pihak Switzerland memaklumkan, mereka telah membekukan berpuluh juta dolar simpanan di beberapa bank di Switzerland, ketika siasatan dijalankan.

Tetapi, Arul Kanda memberitahu Reuters, tiada pihak dari Switzerland atau badan penyiasat dilaporkan menyiasat dana di Singapura dan Amerika Syarikat.

“Dari segi siasatan, sama ada dari badan pasukan siasatan Switzerland, Singapura atau FBI, 1MDB tidak pernah dihubungi mana-mana pihak berkuasa.

“Jadi, kita tidak menerima sebarang makluman atau petunjuk daripada mana-mana pihak berkuasa mengenai dakwaan-dakwaan yang telah dibuat, seperti mana dilaporkan media,” kata Arul Kanda.

Beliau berkata, penjualan aset yang dirancang dalam beberapa minggu akan datang, bakal meletakkan 1MDB dalam kedudukan tunai yang positif, sejak awal 2016.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/29/1mdb-tidak-dihubungi-penyiasat-asing/