Tiada Wakil Rakyat DAP Johor Yang Menetap Di Kawasan Masing-Masing

Pemimpin Pusat DAP yang dipilih sebagai wakil rakyat di Johor hanya bertindak sebagai wakil rakyat ‘jarak jauh’ di negeri itu kerana memantau kawasan mereka dari jauh.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez mendakwa, perkara itu disebabkan kebanyakan wakil rakyat tersebut menetap di luar Johor dan menyerahkan tugas kepada wakil mereka sahaja.

“Kesukaran berada di dalam kawasan masing-masing menyebabkan mereka hanya memantau kawasan dari jarak jauh.Ini berbeza dengan janji yang pernah disuarakan mereka pada pilihan raya umum lalu kononnya membela rakyat,” katanya.

Justeru itu, beliau mahu rakyat Johor menuntut surat aku janji daripada mana-mana pemimpin DAP dari luar yang berhasrat untuk bertanding di negeri itu jika tidak mahu terus termakan janji-janji palsu.

“Mereka ini hanya bersemangat semasa berucap di pentas ceramah, tetapi selepas menjadi wakil rakyat, mendapat kemewahan dan menerima elaun, tiada pun yang menetap di Johor, mereka menjadi wakil rakyat jarak jauh.

“Hanya seorang pemimpin yang menetap di Johor, yang lain semua di luar negeri, tidak kira Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen,” katanya Khamis.

Pada pilihan raya umum lalu, beberapa pemimpin DAP dari luar telah bertanding di Johor antaranya Pengerusi DAP, Lim Kit Siang yang menjadi Ahli Parlimen Gelang Patah; Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan Ahli parlimen Kulai, Teoh Nie Ching.