Tiga tahun untuk selesai masalah jerebu adalah tidak munasabah

Indonesia digesa mencari jalan penyelesaian segera dan berkesan bagi mengatasi masalah je­rebu yang semakin teruk melanda negara sehingga hampir semua sekolah terpaksa ditutup selain bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dicatatkan di Shah Alam, Selangor yang melebihi 300 atau pada tahap berbahaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh tiga tahun yang dinyatakan Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mengatasi je­rebu terlalu lama memandangkan saban tahun Malaysia akan menjadi mangsa kepada masalah itu yang turut mendatangkan kerugian dalam sektor ekonomi dan meningkatkan kos rawatan perubatan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Indonesia perlu menterjemahkan komitmen untuk mengatasinya dalam jangka panjang termasuk penguatkuasaan yang tegas bukan hanya merancang di atas kertas atau mengeluarkan kenya­taan-kenyataan yang menjadi halwa telinga tetapi tiada tindakan diambil.

“Malaysia mengalu-alukan langkah itu namun tiga tahun mungkin terlalu lama kerana setiap kali pembakaran terbuka dilakukan oleh pekebun-pekebun di negara ber­kenaan, kita seolah-olah tidak melakukan usaha untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak negara berkenaan.

“Kami sangat berterima kasih dengan Indonesia jika berbincang dengan negara-negara rakan ASEAN untuk mengambil langkah panjang bagi mengatasinya dengan harapan komitmennya bukan hanya di atas kertas atau menjadi halwa telinga, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang boleh mengakhiri semua permasalahan ini,” tegasnya dalam sidang akhbar.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sangat komited untuk membantu Indonesia mengatasi masalah jerebu dengan mengarahkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berbincang dengan rakan sejawatnya dari negara itu mengenai langkah-langkah yang perlu diambil.

Sehubungan itu, beliau berharap langkah-langkah mengatasi jerebu yang dicadangkan pihak berkuasa Indonesia dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) minggu lalu dapat dilakukan demi memastikan masalah berkenaan diselesaikan.

Sementara itu, mengulas mengenai teknologi untuk mengukur IPU, beliau berkata, Malaysia akan menggunakan teknologi negara jiran sebagai panduan di negara ini buat sementara waktu sehinggalah peralatan sendiri diperoleh.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tiga-tahun-atasi-jerebu-terlalu-lama-8211-tpm-1.142983