Tony Pua “bukan tuhan” Yang Boleh Menentukan Pakatan Harapan Akan Memenangi Pilihan Raya Umum

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua “bukan tuhan” yang boleh menentukan Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai membidas kenyataan angkuh Pua mendakwa Pakatan Harapan boleh menang pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) tanpa bantuan PAS.

Menurut Sallehin, Pua hanya mengitar semula kenyatàan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan bahawa PAS akan kalah teruk pada PRU akan datang.

Beliau berkata Pua dan Lim tidak berpijak pada realiti dalam membuat ramalan.

“Bagi saya, Tony bukan tuhan nak menentukan pilihan raya boleh menang atau tidak. Politik ini di saat-saat akhir pun boleh berubah dan boleh berlaku.

“Kalau dia kata boleh menang lebih banyak kerusi (tanpa PAS), dia kena tunjuklah strateginya,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi Pakatan Harapan harus merupakan hasrat untuk menawan Putrajaya jika gagal mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu-Islam tanpa sokongan PAS.

“Jika mereka (Pakatan Harapan) ingin menawan Putrajaya bagi saya lupakanlah.

“Realitinya apa yang berlaku sekarang Pakatan Harapan ini sukar mendapat sokongan orang Melayu dan Islam tanpa PAS,” ujarnya lagi.

Selain itu, Sallehin menyelar kenyataan Pua yang mempersendakan prestasi PAS di Kelantan.

“Kalau dia nak kaitkan soal dia akan menang besar dengan soal Kelantan saya fikir itu tidak adil melainkan kalau dia kata PAS Kelantan akan kalah tapi bagi saya ucapan yang menyatakan Kelantan itu prestasinya tidak bagus adalah tidak betul,” jelasnya lagi.