Tony Pua (DAP) Mendakwa Bahawa PAS Turut Hilang Sokongan Pengundi Di Kelantan

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, Pas kini kehilangan sokongan walaupun di Kelantan iaitu negeri yang menjadikan parti itu sebuah kerajaan negeri.

Malah katanya, tiada sebab untuk rakyat Kelantan menaruh kepercayaan kepada Pas untuk menerajui kerajaan negeri itu.

“Pakatan Harapan (PH) boleh memenangi pilihan raya umum tanpa Pas, kerana parti itu sendiri sudah kehilangan penyokong mereka.

“Walaupun di Kelantan, mereka hilang sokongan berikutan kegagalan kerajaan negeri menangani masalah banjir di negeri itu.

“Ia seolah-olah tiada kerajaan di sana ketika bencana itu berlaku,” katanya pada majlis makan malam amal Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini.

Katanya, persepsi bahawa Pas mampu menyalurkan undi kepada PH di Johor adalah silap.

“Mereka hilang deposit di Johor sudah banyak kali. Masyarakat Melayu di Johor tidak menerima Pas sebagai jenama politik dan agama.

“Dengan Amanah, mereka dapat pemimpin yang progresif dan boleh menerima masyarakat Melayu di banyak negeri yang sebelum ini merupakan pengundi Umno.

“Kepimpinan di Selatan akan ditentukan menerusi pilihan raya,” katanya.

Malah katanya, terdapat keperluan untuk PH terus maju untuk menetapkan agenda bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Kita perlu bersedia untuk menumbangkan BN menjelang tahun itu.

“Menubuhkan PH bukan satu perkara mudah, terdapat banyak cabaran, ada yang mengatakan kami terlalu terburu-buru untuk menubuhkannya tanpa agenda, tetapi saya tidak bersetuju kerana tiada sebabnya mengapa kami tidak boleh menubuhkan pakatan sebelum menetapkan agenda,” katanya.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/07/pengundi-kelantan-kini-makin-jauhi-pas-dap/