Tuduhan Orang Asli Pos Tohoi Dilayan Teruk Yang Dilaporkan Astro Awani Adalah Palsu

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menegaskan laporan yang dikeluarkan Astro Awani pada Sabtu lalu yang bertajuk “Kanak-kanak Orang Asli Pos Tohoi Dilayan Teruk – Aktivis” adalah palsu dan tidak berasas yang hanya mahu menimbulkan persepsi negatif kepada jabatan dan kerajaan secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Datuk Hasnan Hassan, berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera setelah menerima laporan kehilangan dengan membentuk pasukan sukarelawan Orang Asli dan pasukan RELA Orang Asli yang juga diketuai oleh Pengarah JKAOA Kelantan dan Terengganu.

“Sepanjang 47 hari operasi dijalankan, tiada sebarang rungutan dan rasa tidak puas hati diterima oleh JAKOA daripada pihak ibu bapa dan ahli keluarga murid-murid yang hilang.

“Kami amat berdukacita terhadap pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan membuat tuduhan yang tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Malah tambahnya lagi, bantuan juga diberikan dalam menjaga kebajikan ahli keluarga yang terlibat seperti menyediakan makan dan minum kepada ahli keluarga sepanjang operasi mencari dan menyelamat, bekalan minyak motorsikal yang diberikan kepada anggota lelaki keluarga mangsa yang diminta membantu proses pencarian.

“Tiga orang pegawai JAKOA juga telah ditugaskan untuk membantu menguruskan hal-hal kebajikan dan pentadbiran di lokasi. Pada masa yang sama Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu sentiasa turun ke lokasi bagi memastikan kebajikan keluarga dalam pelbagai aspek khususnya khidmat kaunseling.

“Malah, kakitangan JAKOA yang berkemahiran dalam bahasa Temiar turut ditempatkan di lokasi sebagai jurucakap utama bagi memudahkan komunikasi dan kerjasama antara keluarga mangsa, penduduk dengan pasukan keselamatan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihak JKAO dengan kerjasama Jawatnkuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tohoi juga telah mengatur penginapan keluarga mangsa ke rumah sanak saudara serta menghulurkan bantuan dari segi kewangan.

Bagi kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II pula, katanya, bantuan seperti makan minum, keperluan asas, tempat tinggal dan pengangkutan juga disediakan.

Sumber: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/11/laporan-astro-awani-palsu-jakoa/