Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang Mahu Ketua Menteri Tarik Balik Kenyataan Adun PKR Bersekutu Dengan UMNO

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN PULAU PINANG KEPADA KETUA MENTERI PULAU PINANG

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang amat kecewa terhadap tuduhan YAB Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keadilan memihak kepada UMNO adalah tidak wajar.

Tuduhan tidak berasas ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang Ketua Kerajaan kepada ADUN yang menyokong kepimpinan beliau sejak 2008.

Keputusan untuk tidak mengundi pada usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2, 600 hektar itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk sewenang- wenangnya menuduh ADUN KEADILAN memihak kepadaUMNO.

5 ADUN Keadilan yang mempunyai pandangan berbeza dan menyatakan pendirian untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan perlu dihormati. Mereka juga bukan semata – mata perlu menjadi boneka DAP walaupun ADUN Keadilan adalah sebahagian daripada organisasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP sepatutnya lebih memandang serious terhadap ADUN Tanjung Bungah dari Parti DAP yang terang – terangan menyokong usul tersebut sewaktu undian dijalankan dan memihak kepada UMNO yang menjadi pembangkang di dalam DUN Pulau Pinang sebelum membuat tuduhan melulu dengan melabel ADUN Keadilan memihak kepada UMNO.

Oleh yang demikian, Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu YAB Lim Guan Eng menarik balik tuduhan yang dilemparkan serta memohon maaf atas ketelanjuran beliau membuat tuduhan melulu terhadap 5 ADUN Keadilan secara terbuka.

Sekian,

Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Pulau Pinang
22 November 15