Bajet Defisit Kerajaan Negeri Selangor Tertinggi Sejak 2008

Kerajaan PKR Selangor hari ini membentangkan bajet defisit bagi tahun 2016 yang mencatat jumlah RM630 juta, yang merupakan jumlah tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak 2008.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan bajet tersebut pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mengakui peningkatan defisit itu sengaja dirangka kerajaan negeri atas alasan untuk menjana aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, anggaran hasil keseluruhan Bajet Selangor 2016 adalah sebanyak RM2.88 bilion dan peningkatan defisit itu antaranya disebabkan cadangan kerajaan negeri untuk menaikkan perbelanjaan mengurus antaranya kenaikan tiga peratus gaji (emolumen) 10,673 kakitangan awam negeri sebanyak RM8.8 juta.

Selain itu katanya, elaun 6,900 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga dinaikkan sebanyak RM200 menjadikan elaun yang diterima mereka sebanyak RM1,500 sebulan.

“Kenaikan perbelanjaan mengurus juga disebabkan peningkatan jumlah bantuan program pemberian 20 meter padu air percuma sebanyak RM5 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu berjumlah RM170 juta,” katanya di sini hari ini.

Bajet itu menyaksikan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.44 bilion masing-masing untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Mohamad Azmin berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak 74 peratus atau RM1.07 bilion untuk projek infrastruktur.

Sejak tahun 2008 hingga 2014, bajet negeri ini direkodkan mencatatkan defisit berturut-turut iaitu sebanyak RM49.11 juta pada 2008, diikuti RM65.96 juta pada tahun 2009, RM124.24 juta (2010), RM180.50 juta (2011), RM268.10 juta (2012), RM90.45 juta (2013) dan RM4.37 juta pada tahun 2014.

Bagaimanapun, bagi tahun 2015, bajet negeri mengalami lebihan apabila hasil negeri meningkat daripada RM1.9 bilion kepada RM2.05 bilion manakala anggaran asalnya mengalami defisit RM452.40 juta.