Banduan Hanya Boleh Menerima Rawatan Dalam Negara

Jabatan Penjara tidak akan membenarkan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima rawatan di luar negara.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim, berkata pihaknya terikat dengan ketetapan Seksyen 37 (1) Akta Penjara 1995 yang secara jelas menetapkan rawatan kesihatan banduan adalah di hospital kerajaan, bukannya di hospital swasta mahupun luar negara.

Dalam hal ini, apabila seseorang banduan mengalami sakit serius dan pihak penjara tidak mempunyai kemudahan mencukupi bagi rawatannya, pegawai kanan penjara boleh menghantarnya ke hospital kerajaan dengan perakuan seorang pegawai perubatan.

“Ketetapan ini digunakan secara sama rata untuk semua banduan yang ketika ini berjumlah lebih 47,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, keluarga Anwar menuntut kerajaan membenarkan pembedahan Anwar di luar negara.

Gesaan dibuat kerana mereka tidak mempercayai penjagaan kesihatan yang disediakan kepada Anwar ketika ini.

Ahad lalu, keluarga dan penyokong ketua umum PKR itu menuntut Kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri membenarkannya menjalani pembedahan di luar negara, sambil isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, Anwar selama ini dinafikan rawatan fisioterapi asas bagi kecederaan bahunya.