Cabaran Debat Buat Mahathir, Kenapa Tun Mudah Lupa?

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menulis sebuah artikel di dalam blognya, yang anda boleh baca di sini (http://chedet.cc/?p=1913). Saya ingin berdebat dengan Tun Mahathir berkenaan fakta yang telah beliau utarakan.
——
TUN M: Saya telah disoal oleh polis dan Pejabat Peguam Negara sebelum ini. Mereka telah meminta saya untuk menjadi saksi kerajaan. Saya mendengar kata mereka dan mengesahkan tiada kes terhadap tertuduh yang perlu dijawab. Jadi saya enggan menjadi saksi pendakwaan.

RPK: Dengan pengakuan beliau sendiri, beliau telah mengakui pada masa dahulu beliau telah mencampuri siasatan polis. Beliau tidak memberitahu bila ianya berlaku tetapi kita boleh anggap ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Siapa Dr Mahathir untuk menentukan terdapat kes atau tidak? Tugas polis adalah mengumpul bukti dan tugas Peguam Negara pula menentukan terdapat kes atau tidak.

Dr Mahathir mengakui beliau memainkan peranan polis dan Peguam Negara, walaupun beliau adalah seorang doktor, bukan peguam. Dan kes mana yang dirujuk oleh beliau ini (atau mungkin terdapat lebih dari 1) Adakah ianya kes (atau kes-kes) di mana beliau mempunyai kepentingan lalu beliau campur tangan untuk menentukan samada ada kes atau tidak. Bukankah ini konflik kepentingan?

Sebagai contoh, polis sedang menyiasat Tajuddin Ramli atas dakwaan salah laku di dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS). Walaubagaimanapun, akhirnya tiada tindakan diambil dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kemudian membuka kembali fail siasatan atas alasan terdapat kes. Namun, Tun Dr Mahathir telah bersara ketika itu.

Jadi, adakah kes tersebut ditutup kerana Dr Mahathir telah memutuskan tiada kes? Tajudin kemudiannya menandatangani satu afidavit yang berkata Dr Mahathir telah meminta beliau untuk mengambil alih MAS untuk mencipta ‘keuntungan atas kertas’ untuk menutup skandal kerugian forex yang mencecah RM30 bilion. Ini bermakna Dr Mahathir adalah pihak yang berkepentingan. Jadi patutkah beliau menjadi orang yang menentukan samada ada kes atau tidak?
——
TUN M: Saya memang telah menghadiri satu perhimpunan yang tidak diberikan permit oleh pihak polis. Terdapat lebih 50,000 peserta di perhimpunan tersebut. Jika saya salah, maka ada 50,000 orang lagi yang turut bersalah. Untuk berlaku adil, undang-undang mesti dikuatkuasakan ke atas semua orang. Dengan hanya menahan saya seorang kerana menghadiri perhimpunan tersebut adalah tidak adil. Dan menampakkan saya sebagai mangsa keadaan. Melainkan kerajaan ingin berlaku tidak adil, tindakan tidak boleh diambil ke atas diri saya seorang.

Menggulingkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik melalui perhimpunan jalanan adalah perkara normal. Jadi apa salahnya saya menghadiri sebuah perhimpunan yang menuntut Najib digulingkan. Malah menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinannya tidak salah, melainkan kita berada di dalam pemerintahan diktator.

RPK: Pada 20 September 1998, satu perhimpunan jalanan besar-besaran telah diadakan di Dataran Merdeka. Dianggarkan 100,000 orang telah menghadiri perhimpunan itu, yang menuntut Dr Mahathir meletak jawatan. Pada malam yang sama, beberapa individu, termasuklah Anwar Ibrahim, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Mahathir secara peribadi memberitahu polis untuk menahan individu tersebut. Malah, Dr Mahathir berada di tingkat teratas Bukit Aman ketika demonstrasi sedang berlangsung (beliau menyaksikan perhimpunan itu dari situ, yang mengadap kawasan Dataran Merdeka). Tetapi mereka hanya menahan sesetengah individu dan tidak kesemua 100,000 orang. Dan mereka ditahan di bawah ISA atas dakwaan cuba menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Dr Mahathir kemudiannya memberitahu jika anda mahu tukar kerajaan, lakukannya melalui kertas undi. Jangan buat melalui demonstrasi jalanan kerana tindakan itu bukan sahaja mengancam keselamatan negara, tetapi menjejaskan ekonomi kerana suasana huru-hara akan menakutkan pelabur asing.

Pilih pilihanraya, bukan pilihan jalan raya, kita diberitahu. Jika kita bawanya ke jalanraya, kita mesti menanggung akibatnya.

Kami kemudiannya menganjurkan perhimpunan besar-besaran kedua di Lebuhraya KESAS dan 10 dari kami ditahan di bawah ISA. 6 daripadanya dihantar ke Pusat Tahanan Kemunting dan ditahan di sana selama 2 tahun.

Ini berlaku di ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan beliau langsung tidak bertolak ansur dengan perhimpunan jalanan. Sekarang beliau berkata ianya normal untuk menukar kerajaan melalui perhimpunan jalanan.
——
TUN M: Saya kerapkali merujuk kehilangan wang oleh 1MDB dan RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Najib. Saya secara terbuka mengesahkan yang saya tidak percaya derma RM2.6 bilion itu datang dari Arab. Saya percaya ianya dari 1MDB. Najib belum membuktikan yang ianya bukan wang 1MDB. Jika anda mengambil sesuatu yang bukan milik anda, itu adalah sama dengan mencuri.

Dengan berkata Najib telah mencuri wang kerajaan, ianya sebuah fitnah jika Najib boleh membuktikan tidak melakukannya. Setakat ini, beliau tidak mampu memberikan penjelasan yang meyakinkan yang RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau tidak datang dari 1MDB, sekaligus, dari kerajaan.

Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya dituduh rasuah, dituduh mengutamakan kroni, seorang diktator tetapi sekali pun saya tidak pernah mengambi tindakan ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada saya. Saya percaya tuduhan sedemikian adalah normal. Walaupun berdepan pelbagai cubaan untuk menggulingkan saya, saya menang 5 pilihanraya umum dengan majoriti yang meyakinkan. Mereka nampaknya tidak mahu membuang saya. Walaupun ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh, saya masih memperolehi sokongan yang lebih dari beliau. Saya menghidupkan kembali UMNO, memperolehi kembali sokongan dan menang pilihanraya umum seterusnya.

Mahkamah mungkin memutuskan yang saya telah melakukan jenayah atas tindakan atau kata-kata saya. Tetapi, sebelum saya didapati bersalah oleh mahkamah, saya akan terus mempercayai dan berkata yang saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, terutamanya dari segi demokrasi.

Jadi saya akan terus meminta Najib meletak jawatan, untuk tidak mempercayai penjelasan beliau mengenai RM2.6 bilion, untuk mengkritik pinjaman yang diambil oleh 1MDB dan kerugian yang disebabkannya. Ini adalah hak saya sebagai rakyat. Untuk menafikan hak saya ini, ianya adalah tindakan yang tidak demokratik.

RPK: Dr Mahathir menimbulkan beberapa fakta di atas. Pertama, beliau percaya Najib telah merompak wang 1MDB dan beliau mahukan Najib membuktikan yang Najib tidak berbuat demikian. Kemudian beliau berkata, beliau juga telah dituduh merompak dana awam ketika bergelar Perdana Menteri tetapi itu semua tidak dibuktikan di mahkamah. Jadi memandangkan ianya tidak dapat dibuktikan yang beliau telah merompak, beliau tidak bersalah.

Apabila ianya adalah Najib, beliau bersalah kerana beliau tidak mampu membuktikan yang beliau tidak bersalah, setakat ini. Mereka tidak perlu membuktikan yang Najib bersalah. Kerana untuk kes Dr Mahathir, mereka perlu membuktikan beliau bersalah dan memandangkan mereka gagal, jadi beliau tidak bersalah.

Dr Mahathir kemudiannya berbicara mengenai sokongan yang beliau terima di dalam 5 pilihanraya umum yang beliau hadapi sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya, sokongan terhadap beliau merosot pada PRU 1999 dan beliau kemungkinan tewas PRU tersebut, atau hilang 2/3 majoriti jika beliau tidak melakukan satu tipu helah ini.

Tipu helah tersebut adalah: Beliau ke udara di televisyen nasional untuk memberitahu yang rakyat mesti mengundi Barisan Nasional dan memberikan mereka majoriti 2/3 di parlimen. Jika Barisan Nasional gagal mendapatkan 2/3, kerajaan akan menjadi lemah. Kerajaan yang lemah tidak akan mampu menjamin keselamatan rakyatnya.

Dalam erti kata lain, jika Barisan gagal memperolehi 2/3 majoriti parlimen, hidup orang ramai akan terancam. Kemudian trak askar telah dihantar untuk mengawasi kawasan Cina. Ini telah menakutkan orang Cina dan dengan berat hati, mengundi kerajaan kerana risaukan rusuhan perkauman akan tercetus jika mereka mengundi pembangkang.

Selepas pilhanraya tersebut, ramai orang Cina memberitahu saya mereka menyokong pembangkang tapi telah mengundi Barisan Nasional kerana mereka khuatir insiden seperti Mei 13 akan tercetus sekali lagi. Amaran Dr Mahathir dan trak askar yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka telah menakutkan mereka.

Pada 2003, Dr Mahathir telah menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau merasakan, jika beliau kekal sebagai Perdana Menteri, Barisan Nasional pasti akan jahanam pada pilihanraya 2004. Tidak dinafikan prestasi Barisan Nasional pada PRU 2004 adalah baik tetapi tidak pada 2 PRU yang berikutnya.

Dr Mahathir juga berbicara mengenai cabaran yang beliau hadapi dari Tengku Razaleigh Hamzah dan bagaimana beliau menyelamatkan UMNO. Faktanya adalah, Dr Mahathir telah menutup UMNO dan menubuhkan parti baru, yang juga dipanggil UMNO (baru). Kemudiannya beliau tidak membenarkan Tengku Razaleigh dan penyokongnya menyertai parti baru tersebut jadi mereka terpaksa menubuhkan parti baru iaitu Semangat 46. Jadi Dr Mahathir tidak menyelamatkan UMNO. Beliau telah membunuh UMNO. Beliau tubuhkan parti baru dan musuhnya tidak dibenarkan menyertai parti baru itu.

Tiada siapa yang menafikan hak untuk Dr Mahathir bercakap. Malah, kebebasan bersuara sekarang lebih baik berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Hari ini, anda boleh memanggil Perdana Menteri perompak dan tidak akan ditahan tanpa bicara dan dihantar ke Kemunting untuk 2 tahun atau lebih. Ketika zaman Dr Mahathir, mereka akan menahan anda dan memukul anda, walaupun anda pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti Anwar Ibrahim.

http://www.malaysia-today.net/i-would-like-to-debate-dr-mahathir/