Charles Morais Turut Diragui Oleh Adik Bongsunya Sendiri

Anak bongsu daripada empat beradik itu mendakwa, beliau ragu dengan pengakuan yang dibuat Charles Suresh Morais, 52.

Richard, 49, turut mempersoalkan tindakan Charles Morais yang tiba-tiba tampil dengan maklumat berkenaan seolah-olah dia begitu rapat dengan Kevin Morais sehingga Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara itu mengirim maklumat tersebut.

“Tidakkah pelik jika Kevin menghantar maklumat penting itu kepadanya (Charles Morais) sedangkan namanya tidak tersenarai dalam wasiat Kevin malah, dia juga tidak membayar satu sen pun kos pengebumian mendiang sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh saya.”

“Kevin juga seorang yang tegas dan tidak berkongsi maklumat terutama mengenai kerjanya termasuk kepada ahli keluarga. Saya ragu bagaimana mendiang boleh kirim maklumat itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Richard kini berada di Perak bagi mewakili abangnya, Kevin, 55 untuk menerima darjah kebesaran dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, esok.