DAP Adalah Parti Cina, Bukan Parti Pelbagai Kaum – Adenan Satem

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, berkata parti DAP yang bermuka-muka mengakui bahawa ianya adalah sebuah parti berbilang kaum pada hakikatnya adalah sebuah parti untuk orang Cina.

“Jangan berpura-pura yang parti-parti di negara ini tidak berasaskan kaum. Senario politik di negara ini masih berasaskan kaum.

“Kita ada UMNO, MIC dan MCA di Semenanjung Malaysia. Di Sarawak, semua parti dikawal oleh atau berdasarkan satu bangsa,” katanya di Forum Belia Tegas 2015 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) semalam.

Walau bagaimanapun, Adenan percaya sebuah parti politik berbilang kaum akan menjadi kenyataan pada masa hadapan bagi Sarawak dan rakyatnya dan beliau berharap ia akan berlaku.

“Saya percaya parti berbilang kaum sebenar boleh mewakili rakyat Sarawak – cuma ia tidak akan terjadi pada zaman saya.

“Saya rasa anak-anak muda hari ini dapat melihat ia menjadi kenyataan pada zaman mereka di masa depan, “katanya.

Beliau berkata sebelum mana-mana parti politik berbilang kaum boleh mewakili rakyat Sarawak, rakyat pelbagai kaum mestilah saling mempercayai.

Menurutnya di portal The Borneo Post, Sarawak masih belum bersedia untuk mempunyai parti politik pelbagai kaum.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/11/dap-parti-cina-bukan-berbilang-kaum-adenan-satem/