Dr M Berpendapat Perjanjian Baru Dengan Pemegang Konsesi Tol Harus Memikirkan Keuntungan Pemegang Konsesi

Dr Mahathir mengakui bahawa perjanjian konsesi tol tidak dirangka dengan baik semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Operator lebuhraya, katanya, kini mengaut keuntungan besar daripada kenaikan tol.

Bekas Perdana Menteri mengakui bahawa kandungan perjanjian konsesi yang dirangka semasa beliau mentadbir mempunyai kelemahan dan kabinet patut melakukan sesuatu yang lebih baik dari itu.

“Kabinet hanya meluluskan dari segi prinsip. Mereka tidak betul-betul mengkaji implikasi beberapa bahagian dalam perjanjian tersebut,” Malaysia Today memetik beliau.

“Anggota kabinet bukan pakar-pakar. Mereka adalah ahli-ahli politik dan sesetengah ahli politik seperti saya boleh jadi begitu bodoh. Apabila ada perjanjian, perjanjian itu dibuat oleh pegawai-pegawai dan perjanjian yang diserahkan kepada kabinet biasanya tidak mempunyai perinciannya,” Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak berpuas hati dengan perjanjian sedemikian dan kemudiannya memberikan arahan khusus supaya disenaraikan perkara-perkara yang sepatutnya dimasukkan dalam semua perjanjian.

“Kami tidak mempunyai begitu banyak pengalaman. Kami tidak tahu tentang pertumbuhan dan reaksi orang ramai. Kakitangan awam tidak begitu memikirkan reaksi seperti ahli-ahli politik. Mereka fikir perjanjian tersebut adalah munasabah lalu menghantarnya kepada kabinet dan kabinet menerimanya. Dan sekarang kita tersangkut,” katanya.

Dr Mahathir berpendapat perjanjian baru boleh dilakukan dengan syarikat pemegang konsesi tol dengan syarat mereka masih mendapat keuntungan.

“Jika pertambahan jumlah lalulintas dan syarikat memungut lebih daripada yang diunjurkan, kerajaan mempunyai bahagian terhadapnya. Jika unjuran jumlah lalulintas tidak berlaku, dengan itu jumlah yang dikumpulkan kurang, kerajaan perlu bayar pampasan.

“Saya fikir jumlah kenderaan bertambah dengan begitu banyak, tetapi saya tidak tahu. Kita tidak mempunyai angkanya. Saya banyak memandu, seperti yang anda tahu, saya juga melihat kesesakan lalulintas. Saya tahu mereka tentu mengutip sejumlah wang yang agak besar,” katanya.

9 Januari 2007.