Gagal Undi Tolak Bajet 2016 Tanda Usul Tidak Percaya Najib Juga Lemah

Rancangan pembangkang untuk mengundi menolak bajet ternyata hanyalah sekadar provokasi dan propaganda murahan kononnya bagi menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah hilang sokongan majoriti di Dewan.

Hakikatnya Bajet 2016 yang dikatakan sebagai batu asas untuk melakukan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri telah lulus dengan cemerlang di sidang Dewan Rakyat malam tadi di mana sejumlah 128 orang termasuk beberapa ahli Parlimen pembangkang menyokong usul meluluskan Bajet tersebut.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim kegagalan pembangkang untuk memalukan Perdana Menteri bukan sahaja memperlihatkan tindakan mereka separuh matang malah membuktikan bahawa sememangnya pakatan pembangkang ini tidak lebih umpama ayam yang berkokok berderai-derai tetapi ekor penuh tahi.

Tegasnya para penentang Datuk Seri Najib khususnya kerajaan Barisan Nasional (BN) berhadapan tamparan hebat kerana sebelum ini mereka beranggapan Bajet ini akan diluluskan dengan undi yang berkurangan berbanding jumlah ahli Parlimen BN.

Sebaliknya jelas beliau Bajet 2016 diluluskan dengan sokongan 128 undi biarpun jumlah kehadiran ahli parlimen BN hanya 121 orang ketika undian dilakukan kerana ada Menteri dan wakil rakyat berada di luar negara.

“Pembangkang sebelum ini cuba mengadu domba di kalangan ahli parlimen BN menerusi rancangan menolak Bajet 2016 ini tetapi ternyata mereka bukan sahaja tidak berjaya malah memperlihatkan di kalangan pakatan pembangkang itu sendiri bercelaru dan caca merba.

“Mereka cuba malukan Perdana Menteri dan Kerajaan BN tapi hakikatnya mereka yang malu sendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Azahar seterusnya menegaskan pembangkang tentunya akan mencari pelbagai helah dan pelbagai strategi dalam usaha menunjukkan kepada masyarakat umum kononnya kerajaan hari ini tidak stabil dalam menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Sedangkan tegas beliau menerusi Bajet 2016 yang dibentangkang baru-baru ini pelbagai penekanan dan pelbagai perancangan telah dimasukkan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Bajetlah kunci kepada apa yang kerajaan ingin laksanakan untuk rakyat dan negara. Sejajar itu tidak pelik pembangkang akan cuba dengan sedaya upaya untuk memburuk-burukkan bajet berkenaan dengan pelabagai drama seperti mana dilakukan sebelum ini,” ujar.