Keputusan Pembayaran Gaji, Elaun, Bonus Dan Perlantikan YaPEIM Adalah Keputusan Berasaskan Perniagaan.

Perlu kita tahu bahawa Yapeim merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1952 yang berorentasikan ekonomi dan kebajikan. Sejak ditubuhkan pada 13 Oktober 1976, YaPEIM memfokuskan kepada usaha untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.

Dengan kata lain, Yapiem perlu berniaga dan mewujudkan peluang ekonomi untuk membantu orang Islam lain. Yapiem tidak mengutip zakat atau sekadar badan kebajikan berorientasikan sumbangan dan geran. Justeru keputusan pembayaran gaji, elaun, bonus dan perlantikan adalah keputusan berasaskan perniagaan.

Salah satu program pembangunan ekonomi Islam yang paling berjaya ialah program Ar Rahnu YaPEIM yang kini telah dilaksanakan melalui 202 buah cawangan di seluruh negara.

YaPEIM merupakan pelopor dan peneraju dunia dalam memperkenalkan instrumen Ar-Rahnu sejak 1993. Setiap tahun sejak 1993, program Ar-Rahnu terbukti telah menjana keuntungan yang memberansangkan. Tahun ini sahaja, YaPEIM berjaya menjana pendapatan mencecah RM83juta. Keuntungan ini telah meningkat sebanyak RM11juta berbanding RM72juta tahun 2014.

Pada hari ini, Rezab Pendapatan YaPEIM terus bertambah dengan Aset Bersih sebanyak RM138juta pada tahun 2014 dan dijangka bertambah menjadi RM160juta sehingga Disember tahun 2015. Jumlah Aset keseluruhan YaPIEM berjumlah RM1.034 bilion.

Melalui program Ar-Rahnu dan pelbagai sektor perniagaan berkaitan, YaPEIM berjaya menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan (geran) kerajaan dalam pengurusan dan operasinya.

Malah keuntungan yang dijana melalui aktiviti pembangunan ekonomi, jugalah yang digunakan untuk menjayakan pelbagai program kebajikan YaPEIM seperti Skim Kecemerlangan Pelajar (miskin) Nasional – SANTUN (melibatkan 5,200 orang pelajar miskin dan anak yatim yang cemerlang), Program Sinar Kasih dan Skim Khairat Nasional (dengan kumpulan sasar 200 ribu keluarga yang berdaftar di bawah e-Kasih), Program Pembangunan Komuniti dan Program Pembangunan Keusahawanan (mencecah 120,000 orang pada penghujung tahun 2015).