Kondo Mewah Di Kajang, Menteri Besar Diminta Kaji Semula Projek

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali diminta mengkaji semula pelaksanaan projek kondominium mewah The Lourve di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Sungai Ramal, Kajang kerana ia tidak menguntungkan penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Dengkil, YB Shahrum Mohd Sharif berkata majoriti pembeli kondominium mewah itu adalah daripada warga asing.

“Dari segi impak sosio-ekonomi projek ini tidak berbaloi memandangkan harga perkhidmatan apartment yang ditawarkan tidak mampu dibeli oleh penduduk-penduduk di kawasan sekitar.

“Saya difahamkan, ramai daripada pembelinya adalah daripada Singapura,”katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek kondominium mewah The Lourve yang diusahakan oleh Paris Dynasty Land Sdn. Bhd itu bercanggah dengan kelulusan asal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). http://newlaunch.iproperty.com.my/The-Louvre–Country-Heights/4932#m2SSrYWiDDeLBxKh.97

“Pembinaan projek itu juga bertentangan dengan pelan asal yang diluluskan oleh MPKj di mana sebelum ini pemaju mengemukakan pelan bagi membina rumah kedai, bukannya apartmen yang mempunyai 498 unit kediaman dan 30 unit kedai.”

Turut dikhuatiri ia bakal menyebabkan kesesakan teruk di kawasan berkenaan apabila projek itu siap kelak.

“Sehingga kini sebanyak 40,000 tandatangan penduduk telah dikumpulkan sebagai tanda membantah pembinaan projek itu,” katanya lagi.

Pada April lalu, ADUN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika diajukan persoalan ini berkata Sungai Ramal bukan di bawah tanggungjawabnya, sebaliknya ia adalah dalam bidang kuasa ADUN PAS Bangi, YB Mohd Shafie Ngah.

“Namun, atas dasar pertanggungjawaban dan keprihatinan Kak Wan dalam isu-isu yang menyentuh rakyat, Selasa minggu lepas ada seorang bapa pelajar mengadu kepada Kak Wan.

“Setelah meneliti aduan beliau, Kak Wan menghubungi Dato’ Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya. Kak Wan juga maklumkan hal ini kepada YDP MPKj.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/11/11/tidak-untungkan-penduduk-tempatan-azmin-diminta-kaji-semula-projek-kondominium-mewah/