Kontroversi Yang Melanda Darul Ehsan Investment Group (DEIG)

Pelbagai kontroversi yang melanda Darul Ehsan Investment Group (DEIG) sejak penubuhan mewajarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk menjalankan dengan kadar segera satu siasatan menyeluruh ke atas DEIG terutama mengenai tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah satu anak syarikat kumpulan tersebut.

Dalam siasatan tersebut, SELCAT mesti mengesahkan bahawa tiada sebarang unsur salahguna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran walaupun DEIG telah tampil mengakui kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak.

Pengakuan tersebut tidak bermakna isu ini boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi SELCAT untuk memulakan siasatan.

Di samping itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan kesahihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG. Di peringkat negeri pula, adalah dalam bidang kuasa SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) untuk menghubungi Bank Negara Malaysia dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersil tersebut boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum beroperasi.

Saya yakin kerajaan negeri tidak akan menentang mahupun menghalang apa jua bentuk siasatan atau pengauditan kerana proses sebegini boleh membersihkan nama DEIG dari terus terpalit dengan pelbagai tuduhan dan kontroversi, sekaligus membuang syak wasangka terhadap DEIG.

Mengenai satu isu lain yang tidak berkaitan, saya peka dengan komen dan sindiran kononnya saya memainkan peranan membenarkan pembinaan lebuhraya bertol di Selangor.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa walaupun ada persetujuan secara prinsip atau persetujuan bersyarat secara administratif terhadap keperluan merancang satu sistem aliran trafik yang berkesan termasuk membina jajaran jalanraya lingkaran luar dan dalam Lembah Klang, tidak pernah sama sekali perintah pembangunan atau “development order” dikeluarkan semasa pentadbiran saya bagi mana-mana projek.

Persetujuan secara prinsip yang diberikan juga tertakluk pada hasil kajian Penilaian Kesan Trafik, Sosial dan Alam Sekitar bagi memastikan mana-mana projek lebuhraya bertol yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada rakyat, tidak membebankan rakyat atau memberi kesan negatif ke atas alam sekitar.

Sebagaimana yang berlaku kepada projek Lebuhraya KIDEX, pentadbiran sekarang mempunyai kuasa untuk tidak mengeluarkan perintah pembangunan bagi SUKE, DASH dan EKVE.

Walaupun isu pembangunan sebegini sangat sensitif kerana ianya melibatkan impak ke atas masyarakat setempat, kerajaan negeri perlu membuat keputusan yang rasional setelah mengambil kira hak dan kepentingan semua pihak. Sememangnya amat mudah untuk menuding jari kepada orang lain untuk mengelakkan kritikan dan tentangan namun ianya juga tidak matang mahupun bertanggungjawab.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
ADUN PELABUHAN KLANG
6 NOVEMBER 2015