Lim Guan Eng Adalah Mahathir Baru

Joseph Stalin merupakan antara diktator yang paling berkuasa pada abad ke-20. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan beliau akan diseksa dan dibunuh. Hanya keputusan dan pandangan beliau yang penting. Beliau memerintah untuk mengekalkan dominasi.

Apa yang berlaku baru-baru ini di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang memberikan gambaran pemerintahan diktator di sana. Apabila seorang Adun BN dari Pulau Betong membentangkan usul membantah projek tambakan laut di dalam sidang dewan, satu perdebatan yang panas terjadi antara beliau dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ketika debat itu, Lim secara bongkak memberi amaran kepada Adun Pakatan Harapan yang sekiranya mengundi menyokong usul BN itu, mereka akan dikenakan tindakan. Sangat menakutkan apabila melihat betapa besar ego yang dimiliki oleh seseorang yang mempunyai kuasa yang terhad. Saya tak boleh bayangkan apa tindakan Lim Guan Eng sekiranya beliau berkuasa di peringkat Persekutuan.

Mendiang Karpal Singh berkata, walaupun sahabat dan musuh tidak kekal, prinsip mestilah kekal. Dengan berpegang pada kata-kata ini, seorang Adun DAP mengundi menyokong usul BN. Tindakan ini tidak dapat diterima oleh Ketua Menteri itu.

Adun BN itu telah menyeru supaya diadakan pendengaran awam untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, dan cadangan sebelum sebarang projek tambakan dibuat. Adakah itu keterlaluan?

Lim telah mempolitikkannya apabila berkata ianya usul DAP vs BN, yang sebenarnya tidak langsung begitu. Bukankah kepentingan awam patut mengatasi segalanya? Atau ianya hanya wujud di negeri yang diperintah BN, supaya Pakatan boleh membuat bising di media? Mungkin inilah sebabnya rayuan rakyat Selangor tidak didengari kerajaan negeri berkenaan projek pembangunan lebuhraya baru. Nampaknya rakyat diketepikan.

Terdapat bantahan awam apabila pelan pembangunan dikeluarkan ke atas premis Vivenkanda Ashram. Malah Nurul Izzah Anwar dari PKR juga menyuarakan kebimbangan.

Kerajaan persekutuan telah mendengar rayuan rakyat; itu termasuk ahli pembangkang dan menggazetkan kawasan kuil itu sebagai tapak warisan.

Kerajaan kini nampaknya mula mendapatkan pandangan awam sebelum membuat apa-apa keputusan. Kita lihat Perdana Menteri meminta pandangan awam sebelum membentangkan bajet 2016. Walaupun dikritik oleh rakyat Malaysia, pihak antarabangsa menyokong bajet itu.

Seorang rakan saya dari Singapura memberitahu, “Kamu rakyat Malaysia sendiri tidak tahu menguruskan kewangan sendiri tetapi bertempik di media sosial untuk menasihati kerajaan cara-cara menguruskan kewangan negara dengan baik.”

Sesetengah orang akan mempertahankan Lim dengan berkata beliau pemimpin yang bagus, maka beliau perlu memberitahu orang supaya mendengar arahannya. Nah, Mahathir melakukan itu selama 22 tahun dan hari ini kita menanggung ‘buah-buahan’ rejim itu.

Seorang ketua yang baik tidak mengancam pengikut untuk taat kepada arahannya. Beliau menggalakkan perbincangan dan pertukaran buah fikiran. Beliau menganalisis, mengkritik, membuat keputusan bersama rakyatnya, untuk rakyatnya.

Apa yang kita lihat dalam Lim Guan Eng hari ini adalah sama dengan apa yang kita lihat dalam Mahathir dahulu.

Oleh Jason Chin,
http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2015/11/24/hl-is-guan-eng-another-mahathir-in-the-making/