NGO Pro Pembangkang Teruja Jumpa Obama

Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin, S. Ambiga dan Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel begitu teruja apabila dapat mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama kelmarin.

Dalam kenyataan kepada portal berita pro pembangkang The Malaysia Insider mereka menjelaskan telah membangkitkan pelbagai isu kepada Obama antaranya melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengadu kepada Presiden AS itu kononnya hak asasi manusia di Malaysia semakin buruk, isu hukuman penjara ke atas bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa gerakan demokratik di Malaysia terjejas teruk akibat dasar-dasar Datuk Seri Najib Tun Razak dan dasar Perdana Menteri yang dikatakan menyokong kumpulan se­perti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan baju merah.

Mereka juga menyatakan Oba­ma mengulas mengenai ruang demokratik dan halangan ke atas media daripada melaporkan me­ngenai 1MDB serta kebimba­­ng­­an beliau mengenai masyarakat transgender di Malaysia.

Hebat sekali ‘pejuang-pejuang’ ini yang bersedia mengadu ma­salah mereka kepada pemimpin asing tanpa mengetahui akibatnya kepada negara ini. Tetapi persoal­annya apakah yang disampaikan oleh mereka kepada Obama itu benar atau tidak? Tidakkah sebuah negara kuasa besar yang begitu hebat akan menelan bulat-bulat segala apa yang mereka adukan?

Dalam isu 1MDB contohnya, adakah mereka memberitahu Obama bahawa 1MDB sedang dalam siasatan? Adakah mereka maklumkan kepada Obama bahawa pada 29 Ogos dan 30 Ogos lalu di sebuah negara yang mereka anggap amalan ‘demokratik terjejas teruk’ mereka menganjurkan perhimpunan ha­ram Bersih yang dihadiri oleh berpuluh-puluh ribu orang?

Apakah mereka menceritakan kepada Obama, dalam keadaan amalan demokratik yang dianggap terjejas itu, pembangkang berjaya mengetepikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat sejak 2008 dan menguasai pentadbiran di Pulau Pinang, Se­langor dan Kelantan?

Adakah mereka jelaskan kepada Obama bahawa sepanjang perbicaraan di mahkamah Anwar telah diberi ruang seluas-luasnya untuk membela diri sehingga kesnya berlanjutan selama enam tahun setengah? Tidakkah mereka memberitahu Obama bahawa Anwar bukan tahanan politik tetapi disabitkan kesalahan kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan?

Adakah mereka membentangkan kepada Obama apa keistimewaan yang dinikmati Anwar di penjara berbanding banduan-banduan lain? Tidakkah mereka memberitahu Obama bahawa agama rasmi Persekutuan adalah agama Islam yang menentang sama sekali sebarang fahaman liberal, pluralisme dan LGBT?

Kalau benar mereka memperjuangkan hak asasi, keadilan, kebebasan dan demokrasi maka mereka juga perlu membentangkan fakta-fakta tersebut kepada Obama, bukannya bersikap seperti seekor ayam jantan yang berkokok kuat tetapi ekor berlumuran dengan najis!

Penulis tidak mahu mempertikaikan tahap semangat patriotisme mereka yang menceritakan segala keburukan kerajaan dan negara ini kepada pihak asing, tetapi persoalannya apakah wajar tindakan mereka? Hebat sangatkah rekod hak asasi AS sehingga pemimpin negara itu menjadi platform untuk pihak-pihak tertentu meminta bantuan kuasa besar tersebut mena­ngani isu hak asasi di Malaysia?

Hak asasi apakah yang mahu dikatakan oleh Maria China dan Ambiga ketika mereka sendiri tidak mempedulikan hak asasi orang lain apabila menganjurkan perhimpunan haram Bersih? Kenapakah perlu menyerang Perkasa – sebuah pertubuhan yang hanya berjuang untuk mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara?

Malang sekali Malaysia mempunyai pemimpin-pemimpin NGO seumpama itu yang bersedia meminta pertolongan asing untuk campur tangan dalam urusan negara ini. Sepatutnya mereka yang bertemu Obama memikirkan kesannya secara keseluruhan dan bukannya hanya memperjuangkan apa yang mereka fikir betul sahaja.

Apa yang perlu diingat Malaysia adalah negara berdaulat. Di sini tanah tumpah darah kita. Kemerdekaan yang dicapai adalah hasil perjuangan perwira-perwira negara dan perpaduan orang Me­layu bangkit mengusir penjajah sehingga kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Memang benar ada perkara dan isu yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan tetapi menggambarkan segala-galanya buruk kepada pemimpin asing bukanlah tindakan yang bijak sebaliknya boleh menjemput petaka kepada negara. Namun kita yakin majoriti rakyat Malaysia tidak akan berkongsi sentimen dengan kejahilan NGO-NGO tersebut. Persoalannya sampai bilakah kita harus me­nyaksikan ada kelompok di negara ini bersedia bersekongkol dengan pihak asing sehingga boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia tercinta ini? Ini bukanlah kali pertama berlaku sudah banyak kali kita melihat telatah yang memualkan itu.

Penulis yakin apapun yang mereka lakukan termasuklah me­ngadu kepada pemimpin kuasa besar seperti Obama, tidak akan mampu menggugat pandangan rak­yat negara ini bahawa apa pun urusan dan masalah yang berlaku biarlah kita menyelesaikannya sen­diri bukannya dengan campur tangan ­asing.

Tidak mengapalah kalau Maria China, Ambiga dan sekutu mereka mahu berbangga atau berpuas hati kerana berjaya memburuk-burukkan Malaysia kepada Obama. Tetapi percayalah perbuatan mereka tidak akan menguntungkan negara ini biarpun mereka mendakwa ‘sesuatu akan berhasil daripada pertemuan ini’.

Sudah pasti banyak lagi pihak akan bangun menentang sebarang campur tangan asing berhubung isu dalaman negara ini. Tidak akan ada sesiapa yang mahu dilabelkan sebagai pengkhianat kepada tanah air sendiri apabila bersedia mengadu masalah negara ini kepada pihak asing.

Mungkin NGO-NGO terlibat ber­pendapat apa yang dilakukan ada­lah hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan kononnya demi me­nuntut keadilan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga perlu memahami bahawa rakyat Malaysia yang lain juga berpendapat bukan hak orang asing untuk ‘menjajah semula’ negara ini berbekalkan isu-isu yang dibentangkan ‘separuh masak’ kepada pemimpin asing.

Jika ada sebarang kepincangan dan perkara tidak betul dalam tadbir urus kerajaan, biarlah rakyat Malaysia memutuskannya dalam pilihan raya bukannya melakukan tindakan yang diibaratkan mengkhianati negara sendiri.

Sumber: http://www.mykmu.net/2015/11/wajarkah-minta-bantuan-asing/