Pakatan Pembangkang Gagal Tolak Bajet 2016

Kelulusan Bajet 2016 merupakan satu petunjuk bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen BN, kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini, Tengku Razaleigh yang mengundi untuk menyokong bajet malam tadi berkata beliau berbuat demikian kerana ‘percaya rancangan kerajaan bagi tahun ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada undinya bermakna beliau juga menyokong Najib sebagai Perdana Menteri negara, anggota Parlimen Gua Musang itu enggan mengulas lebih lanjut.

“Tidak, ini bermakna kita menyokong program kerajaan yang dibentang Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri untuk tahun akan datang.

“Kenapa aju soalan ini? Terpulanglah kepada anda untuk menilai,” katanya.

Pemimpin veteran Umno yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li dikhabarkan menjadi sebahagian daripada gerakan anti-Najib yang didakwa diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bajet 2016 yang melalui peringkat dasar malam tadi berjaya meraih 128 undi, menyaksikan semua ahli parlimen BN yang hadir, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Razaleigh dan Muhyiddin dikhabarkan berada dalam senarai tujuh pemimpin Umno yang kini di bawah pengawasan parti.