Parti Amanah Bakal Cabar Kerusi Parlimen Menteri Besar Selangor

Kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Parlimen Gombak bakal tergugat apabila Parti Amanah Negara Selangor bakal meletakkan calon di parlimen tersebut.

Hasrat Amanah Selangor untuk bertanding di Parlimen Gombak telah diumumkan oleh Saari Sungip, Timbalan Pengerusi Amanah negeri dalam satu Ceramah Perdana Pakatan Harapan semalam.

“YB Haji Saari Sungip, Timbalan Pengerusi Amanah Selangor telah mengisytiharkan calon Amanah Parlimen Gombak dalam ceramahnya semalam,” dedah Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dalam Facebook nya hari ini. https://www.facebook.com/YBCikguRahim/posts/1089017147789476

Wan Rahim yang juga Pengerusi Amanah Kelantan turut melampirkan dua foto berkaitan dengan ceramah Pakatan Harapan tersebut.

Selain beliau, turut kelihatan di atas pentas ceramah itu adalah penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa aktivis Amanah termasuk Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden Amanah pusat), Dr Mohd Hatta Ramli (Pengarah Pilihan Raya Amanah pusat) dan Saari Sungip (Timbalan Pengerusi Amanah Selangor).

Turut kelihatan juga Syed Ibrahim Syed Noh Ketua Penerangan PKR pusat.

Semalam, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pusat menyuarakan signal bahawa mereka tidak suka dengan kepimpinan Azmin di Selangor kerana tidak mengiktiraf Pakatan Harapan di negeri itu.

Ketua DAPSY, Teo Kok Seong berkata, keputusan kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besarnya, Azmin Ali seperti tidak menghargai usaha pemimpin parti Amanah dalam mempertahankan Pakatan Harapan selama ini.

Tambah mengecewakan, katanya, Azmin mengabaikan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merestui Pakatan Harapan.

“Saya ingin menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan Selangor kerana tidak mengiktiraf penubuhan Pakatan Harapan walaupun penubuhannya direstui Presiden PKR,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres DAPSY 2015 pada Ahad.

Teo berkata, pemimpin Amanah meninggalkan PAS kerana prinsip dan menjadi tanggungjawab PKR dan DAP untuk membela dan membantu pemimpin Amanah.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/11/23/amanah-akan-cabar-azmin-ali-di-parlimen-gombak/