PAS Akan Pertahan Menteri Besar Selangor Dari Serangan Parti Amanah

PAS Selangor akan mempertahankan kawasan Parlimen Gombak yang disandang oleh Mohamed Azmin Ali daripada serangan Parti Amanah Negara negeri, kata aktivis PAS negeri, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir.

Memetik kenyataan Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman yang berkata kawasan parlimen itu akan dipertahankan kerana ia merupakan kawasan rakan kerjasama politik PAS.

“PAS Selangor menyatakan kesediaan mereka mengerahkan 85,000 jentera pilihanraya Selangor untuk mempertahankan kerusi PAS serta kerusi PKR dalam pilihanraya akan datang.

“PAS bertahaluf dengan PKR maka jentera PAS dan jentera PKR akan bekerjasama dalam pilihanraya nanti,”kenyataan Mohd Khairuddin dipetik.

Kenyataan Mohd Khairuddin dipetik Roslan Shahir sebagai respon daripada kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, YB Saari Sungip yang telah mengisytiharkan calon daripada Parti Amanah untuk bertanding di Parlimen Gombak.

Menurut Roslan Shahir, hasrat Amanah meletakkan calon di kawasan Azmin itu menyerlahkan lagi agenda jahat parti itu.

“Semakin hari semakin terserlah agenda jahat parti yang memanggil diri mereka kononnya “amanah” ini.

“Tidak cukup dengan mencuri kerusi yang dimenangi atas tiket PAS dalam PRU yang lalu, terbaru kerusi PKR pun mahu dilanggarnya.

“Barangkali demi mencuri perhatian orang-ramai mereka terpaksa menerjah yang sensasi, maklumlah parti pun dilahirkan dari kekecewaan dan ketidakpuasan hati setelah kalah dan ditolak majoriti perwakilan PAS,” katanya dalam tulisan terbaharu bertajuk “PAN nak gulingkan Azmin di Gombak”.

Beliau turut juga mempersoalkan motif Amanah meletakkan calon di kawasan Azmin itu.

“Kerusi Parlimen berkenaan kini disandangan oleh Dato MB Selangor Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden merangkap Pengerusi PKR Selangor.

“Apakah muslihat dan agenda mereka? Mengapa mahu mencabar MB Selangor di kerusi Parlimennya itu?

“Sebelum ini kita dengar “tok bidan” mereka, DAP Selangor, telah mengisytiharkan akan bertanding di 8 kerusi DUN milik PAS di Selangor.

“Ada yang berpandangan bahawa ini merupakan isyarat bahawa parti baru ini berserta DAP memang tidak senang dengan Azmin dan mahukan PKR melakukan sesuatu bagi menamatkan karier politik MB Selangor itu,” katanya lagi.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/11/24/pas-selangor-akan-pertahankan-azmin-daripada-serangan-amanah/